Berita Utama

CPTPP utamakan pemain industri tanpa hirau kesan ekonomi tempatan

Lambakan import barangan murah jahanamkan peluang PMKS

BANGI, 13 Safar 1443H, Isnin – Kerajaan mesti menerima hakikat bahawa bukan semua perniagaan akan menikmati faedah yang dicanangkan oleh pihak yang menyokong untuk menyegerakan pelaksanaan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

Perjanjian ini didakwa lebih mementingkan mereka yang terlibat dalam industri eksport tanpa menghiraukan kesan pada ekonomi tempatan khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terlibat dengan sektor perkhidmatan selain eksport.

Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Abdul Halim Husin berkata, lambakan import barangan yang lebih murah akan menjahanamkan peluang PMKS untuk bangkit dan menjadikan negara ini sebagai negara pengguna semata-mata.

Bahkan, perjanjian perdagangan yang kononnya bebas tapi tidak adil ini akan memberi kesan pada pengeluar, PMKS, petani, pesakit dan pengguna juga, katanya.

“MTEM menzahirkan kerisauan dan menyatakan perjanjian CPTPP adalah ibarat menjual dan memperdagangkan negara sendiri kerana kita terpengaruh dengan janji-janji indah, tanpa apa apa bukti jelas ia akan menguntungkan negara.

“Tidak ada kajian yang menggambarkan negara akan berjaya meningkatkan kadar eksport dan ekonomi kita dan isi rumah kita akan mendapat keuntungan. Segala kebaikan CPTPP boleh dicapai dengan perjanjian perdagangan bebas di antara dua negara dan perlu terhad pada barangan sahaja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, beliau mengingatkan tidak pernah dalam sejarah perjanjian perdagangan yang merangkumi terlampau banyak perkara yang didagangkan.

“Yang terakhir kita pernah dengar adalah Perjanjian Syarikat Hindi Timur yang akhirnya menjadikan seluruh Asia Tenggara dan India, termasuk apa yang kita kenali sebagai Malaysia, menjadi sebahagian empayar British selama ratusan tahun lamanya,” katanya.

CPTPP adalah perjanjian perdagangan berkualiti tinggi yang memberikan layanan istimewa kepada anggotanya.

CPTPP merangkumi semua aspek perdagangan termasuk e-dagang, perusahaan milik negara dan disiplin tambahan bagi hak harta intelektual serta halangan teknikal perdagangan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button