Berita Utama

TNB, polis putuskan bekalan elektrik premis judi haram

Pemilik premis perlu dapat kebenaran polis jika mahu elektrik disambung semula

 

KUALA LUMPUR, 29 Rejab 1443H, Khamis – Bekalan elektrik ke sembilan premis perjudian dalam talian haram di Wangsa Maju diputuskan susulan operasi polis dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, operasi bersama itu dijalankan di Setapak Jaya, Jalan Tasik Titiwangsa, Jalan Tun Razak, Jalan Ampang Hilir, Jalan Gombak Batu 5 dan Setapak.

“Kebanyakan premis adalah rumah kedai yang disewa oleh sindiket perjudian,” katanya selepas operasi di Setapak Jaya, hari ini.

Ashari berkata, kebanyakan premis itu pernah diserbu beberapa kali sebelum ini.

“Dalam kes terbaharu, kami menahan tiga individu termasuk penjaga premis di Setapak Jaya pada 21 Januari. 

“Beberapa peralatan judi dalam talian turut dirampas dan suspek sudah pun didakwa pada 26 Januari,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya pemilik premis ingin menyambung semula bekalan elektrik, mereka perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak polis sebelum TNB menyambungkannya semula.

“Operasi memotong bekalan elektrik premis yang digunakan sindiket akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa. 

“Kami akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang melanggar undang-undang,” katanya lagi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button