Berita Utama

DAP gesa percepatkan peruntukan RM15 juta untuk SMPC

Nga Kor Ming tuntut peruntukan 3 kolej swasta Cina dikembalikan

BANGI, 9 Ramadan 1443H, Isnin – Ahli Parlimen parti tamak haloba DAP, Nga Kor Ming menggesa, kerajaan mempercepatkan peruntukan sebanyak RM15 juta yang telah dijanjikan kepada Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) di seluruh negara.

Ahli Parlimen Teluk Intan itu meminta supaya kerajaan tidak membiarkan masyarakat Cina terus berharap, selain menuntut supaya peruntukan kepada tiga kolej swasta Cina dikembalikan.

Kor Ming berkata, ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah, peruntukan sebanyak RM15 juta kepada 61 SMPC dan RM6 juta kepada tiga kolej swasta Cina telah disalurkan sebelum perayaan Tahun Baru Cina.

“Namun malangnya, sehingga kini peruntukan sebanyak RM21 juta milik masyarakat Cina masih tiada khabar berita.

“Oleh itu, sebagai Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong tidak sepatutnya mengabaikan tanggungjawabnya, Datuk Mah Hang Soon sebagai Timbalan Menteri Pendidikan juga patut dipersalahkan dalam isu ini,” katanya seperti dipetik akhbar Sin Chew Daily pada 6 April lalu.

Menurut Kor Ming, janji kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Perak untuk memberikan RM1.8 juta kepada sembilan SMPC di negeri itu juga senyap, dan mendakwa bahawa perkara seperti ini tidak akan berlaku jika PH memerintah.

Katanya, masyarakat Cina mengikuti dekat perkembangan dan mereka sedar layanan sama rata PH kepada sekolah pelbagai aliran terutamanya Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan SMPC yang jelas menguntungkan rakyat.

“Berlainan dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang dikuasai politik perkauman dan teokrasi, tidak ikhlas dalam usaha memelihara amalan keterbukaan dan kepelbagaian serta kesaksamaan sekular yang merupakan nadi pembentukan negara semenjak kemerdekaan,” katanya.

Terdahulu, Kor Ming melawat SMPC San Min di Teluk Intan dan mengumumkan bantuan sebanyak RM50,000 kepada sekolah berkenaan.

Katanya, Pusat Khidmat DAP Teluk Intan juga bekerjasama dengan 58 pengusaha gerai makanan dan berjaya mendapatkan kutipan RM20,000 untuk SMPC San Min.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button