Berita Utama

Pemandu mabuk: Tiba masa kerajaan kuat kuasa dasar lebih ketat

Minuman beralkohol tidak bunuh virus COVID-19, hanya turunkan kekuatan imuniti

BANGI, 12 Ramadan 1441H, Selasa – Sudah tiba masanya kerajaan menguatkuasakan dasar dan undang-undang lebih ketat berkaitan alkohol.

Pengarah Pusat Libatsama Masyarakat dan Jaringan Industri Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar membangkitkan perkara itu apabila saban tahun negara berhadapan kes kematian mangsa tidak bersalah berpunca daripada pemandu mabuk.

Dr Rafidah Hanim berkata, negara wajar mencontohi Brunei, yang melarang premis menjual dan meminum beralkohol secara terbuka.

Beliau berkata, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja Brunei telah mengenakan syarat kepada bukan muslim, iaitu hanya dibenarkan membawa dua botol standard arak dan 12 tin kecil yang perlu dihabiskan dalam tempoh 48 jam.

Bagaimanapun, beliau berkata, hukuman sedia ada yang diperuntukkan ke atas pemandu mabuk di negara ini tidak setimpal dengan sikap cuai dan berbahaya, selain turut meragut nyawa orang lain.

Katanya, undang-undang di Malaysia mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 memperuntukkan individu memandu di bawah pengaruh minuman memabukkan atau dadah dan menyebablam kematian atau kecederaan boleh dihukum penjara antara tiga hingga 10 tahun,dan denda tidak kurang daripada RM8,000 dan tidak lebih RM20,000.

“Taiwan baru-baru ini menyediakan draf cadangan hukuman mati terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan kematian.

“Sesungguhnya trauma dan kesengsaraan kepada keluarga mangsa akibat pemandu mabuk tidak dapat dibayangkan,” katanya menulis di Sinar Harian hari ini.

Dalam kejadian jam 3 pagi Sabtu lalu, mangsa, Koperal Safwan Muhammad Ismail yang juga anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang dirempuh oleh sebuah pacuan empat roda yang dipandu seorang lelaki mabuk berhampiran Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), Selangor.

Kemalangan menyebabkan mangsa berusia 31 tahun dan berasal dari Ipoh, Perak itu maut serta merta di lokasi kejadian.

Sebelum ini, empat beranak cedera termasuk bayi perempuan bersama ibunya parah, apabila mereka dirempuh sebuah kereta.

Kejadian berlaku jam 11.30 malam selepas sebuah kereta jenis BMW terbabas melanggar bahagian belakang sebuah van persiaran.

Dua sahabat juga maut selepas motosikal ditunggangi mereka dilanggar kereta dipandu wanita disyaki dalam keadaan mabuk di Km13, Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) menghala Sungai Dua, Butterworth.

Sebelum itu, seorang penunggang motosikal maut, manakala rakannya cedera juga disebabkan pemandu disyaki mabuk dalam kejadian di Batu 10, Jalan Apas, Tawau.

Sementara Jun tahun lalu, Roslinda Mohamad Isa, 44, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kepala Batas selepas gerai nasi lemak dirempuh sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki yang dipercayai memandu dalam keadaan mabuk.

Sebulan kemudian, satu lagi kes sama membabitkan seorang pekerja kontrak yang maut dilanggar pemandu dipercayai mabuk ketika sedang melakukan kerja kawalan lalu lintas di Persiaran Perdana, Sri Damansara.

Kejadian sama turut meragut nyawa Mohaidin Gani Mohamad, 58, apabila motosikalnya dirempuh oleh kereta seorang wanita warga China berhampiran lampu isyarat simpang empat Jalan Dato Keramat, di ibu negara.

Dalam perkembangan lain, Dr Rafidah Hanim berkata, meskipun alkohol sering digambarkan sebagai keperluan budaya sesuatu kaum, namun hakikatnya, ia mempunyai kesan jangka pendek dan penjang terhadap setiap organ dalam badan.

Beliau berkata, kertas fakta Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengesahkan tiada paras selamat bagi minuman beralkohol, malah risiko kerosakan organ badan seseorang akan meningkat setiap kali pengambilannya.

“Alkohol juga melemahkan sistem daya tahan badan menyebabkan mudah mendapat jangkitan. Alkohol turut meningkatkan risiko Sindrom Pernafasan Akut (ARDS), antara komplikasi COVID-19 paling teruk,” katanya.

Selain itu, katanya, terdapat mitos berkaitan alkohol berlegar ketika penduduk dunia menghadapi pandemik COVID-19 dan ia menyebabkan WHO terpaksa mengeluarkan panduan.

Beliau berkata, antara mitos berkenaan termasuk alkohol kononnya membunuh virus COVID-19 dalam udara disedut serta menyah kuman mulut dan kerongkong.

“Ia mitos semata-mata. Lebih 700 orang di Iran terbunuh kerana mempercayai mitos ini apabila mengambil metanol toksik.

“Mitos lain, minuman beralkohol merangsang imuniti badan dan ketahanan terhadap virus. Hakikat sebenar berlawanan, iaitu ia menurunkan kekuatan imuniti,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button