Berita Utama

Pendapatan negara susut jika tidak laksana PKPB

Keputusan buka ekonomi rangkumi agrikomoditi diharapkan beri impak

BANGI, 12 Ramadan 1441H, Selasa – Sumber pendapatan negara akan menyusut sekiranya kerajaan tidak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasakan semalam.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, pekebun kecil sektor agrikomoditi turut terjejas, selain memberi impak kepada pertumbuhan ekonomi, pendapatan perniagaan dan individu.

“Keputusan kerajaan untuk membuka semula sektor ekonomi yang merangkumi agrikomoditi adalah diharapkan akan berupaya untuk memberi impak positif kepada ekonomi negara tanpa mengenepikan kesejahteraan rakyat khususnya sejuta orang pekebun kecil agrikomoditi,” katanya dalam kenyataan satu kenyataan hari ini.

Katanya lagi, nilai eksport bagi sektor agrikomoditi didapati menyusut dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pada masa sama, Mohd Khairuddin berkata, sektor agrikomoditi yang dibenarkan beroperasi merangkumi aktiviti huluan seperti perladangan dan perkilangan sawit, getah, kayu-kayan, koko, lada, kenaf dan biodiesel.

Beliau berkata, aktiviti hiliran turut tidak terkecuali daripada beroperasi – merangkumi dagangan agrikomoditi termasuk jualan, belian, penggredan, pengangkutan dan pengumpulan serta input pertanian melibatkan anak benih, baja, racun, peralatan, alat ganti jentera dan mesin.

“Demi memastikan keselamatan rakyat adalah terjamin, semua sektor agrikomoditi yang telah diluluskan untuk pengoperasian penuh wajib memenuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan,” katanya.

Katanya, kegagalan mematuhi SOP adalah satu kesalahan dan boleh menyebabkan tindakan undang-undang diambil ke atas pihak ladang dan kilang berkenaan.

Beliau turut menegaskan bahawa tiada sebarang aktiviti dibenarkan bagi kawasan yang terbabit dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button