Berita Utama

Perdebatan hal ‘Senarai Bersama’ tak beri faedah

Dulu kata dari rakyat untuk rakyat, malu bila ada negeri bertelagah

BANGI, 12 Ramadan 1441H, Selasa – Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar menegaskan sepatutnya tidak berlaku pertikaian mengenai Senarai Bersama atau ‘Concurrent List’ antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri, terutama dalam situasi negara berdepan pandemik COVID-19.

Beliau berkata, kesihatan awam, kebersihan dan pencegahan penyakit termasuk di dalam Senarai Bersama yang termaktub dalam peruntukan Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 74 Jadual Kesembilan Senarai Perundangan.

Katanya, perdebatan siapa ada kuasa dalam perkara Senarai Bersama seperti yang telah dinyatakan langsung tidak memberi faedah kepada rakyat. 

“Saya tidak berhasrat untuk membicarakan isu perundangan kerana ia pasti akan memeningkan kepada orang yang tidak mempunyai latar belakang undang-undang. 

“Belum lagi nanti bercakap tentang prinsip undang-undang, penghakiman mahkamah dan peraturan yang pelbagai. Apa yang saya nak katakan ialah tidak bolehkah kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri ini duduk bersama mencari penyelesaian kemelut ini demi rakyat. 

“Dulukan hampa kata dari rakyat untuk rakyat. Malulah bertelagah macam ni,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook, hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan hampir semua aktiviti ekonomi akan dibenarkan beroperasi secara terkawal dan berhati-hati menjelang pelaksanaan PKPB bermula 4 Mei.

Bagaimanapun, beberapa negeri antaranya Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak menegaskan tidak akan melaksanakan PKPB tetapi akan meneruskan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 12 Mei nanti.

Tindakan negeri-negeri itu dilihat seolah-olah mereka membelakangi kerajaan Persekutuan.

Memberi reaksi kepada perkara itu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPB yang mula dilaksanakan semalam itu sudah diwartakan, sekali gus semua peraturan di bawah PKP sebelum ini terbatal secara automatik.

Beliau menegaskan, semua pihak di seluruh negara sama ada di negeri dan daerah tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan seperti diwarta mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) masih lagi berkuat kuasa.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close