Berita Utama

Waspada penipuan kutipan derma banjir

Polis pantau kutipan derma melalui internet, aktiviti meragukan

BANGI, 19 Jamadilawal 1443H, Jumaat – Orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada dalam menyalurkan sumbangan kepada mangsa banjir susulan dibimbangi wujud penipuan kutipan derma bencana itu.

Ini berikutan, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menolak kemungkinan wujud segelintir individu yang mengambil kesempatan daripada isu banjir kilat yang melanda beberapa negeri untuk membuat kutipan derma bagi kegunaan sendiri.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, kebiasaannya aktiviti kutipan yang bersifat kebajikan akan mendapat maklum balas positif daripada rakyat.

Katanya, walaupun sehingga kini tiada sebarang laporan polis diterima, orang ramai dinasihatkan untuk lebih berhati-hati dalam menyalurkan derma supaya ia benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan.

“Adalah ditegaskan, pihak polis sentiasa memantau aktiviti kutipan derma terutama yang dilakukan melalui internet dan sebarang aktiviti yang meragukan akan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang informasi berkenaan aktiviti penipuan kutipan derma ini digesa untuk menyalurkan maklumat kepada pihak polis melalui CCID Scam Response Center yang boleh dihubungi melalui 03-26101559/1599 atau membuat laporan polis di mana-mana balai polis yang berhampiran untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button