Berita Utama

Pertingkat hebahan bahaya COVID-19 semasa PKPB

Tiada siapa akan bahayakan anak jika mereka tahu risiko sebenar

BANGI, 12 Ramadan 1441H, Selasa – Kerajaan disaran mempertingkat dan meneruskan usaha penyebaran maklumat berkaitan risiko dihadapi rakyat apabila keluar dari rumah ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Presiden Pertubuhan Jalinan Sukarelawan Malaysia (Sukarelawan Malaysia), Isham Jalil berkata, ini penting bagi meningkatkan kesedaran supaya rakyat mengambil langkah berjaga-jaga, meskipun tanpa penguatkuasaan.

“Tiada siapa yang akan membahayakan anak mereka sendiri jika mereka tahu risiko sebenar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, pewartaan PKPB pada semalam secara automatik membatalkan semua peraturan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Justeru, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata, semua pihak di seluruh negara sama ada di negeri dan daerah tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan seperti diwarta mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) masih lagi berkuat kuasa.

Katanya, apabila PKPB atau PKP 5 ini sudah diwartakan maka PKP 4 yang diwartakan sebelum ini terbatal kerana pewartaan itu turut menyatakan tarikh permulaan dan penamatannya.

“Oleh itu PKP 4 yang diwartakan terbatal kerana kita sudah warta PKP 5, dan tidak timbul isu ada pihak tidak mahu mematuhinya kerana itu adalah salah di sisi undang-undang,” katanya.

Mengulas lanjut, Isham berkata, pihaknya ingin mencadangkan kepada kerajaan supaya mengadakan ujian jangkitan untuk orang ramai di lapangan seperti di jalan raya, tempat-tempat tumpuan dan perkumpulan.

Beliau berkata, perkara berkenaan perlu dilakukan untuk pemantauan, pencegahan dan tindakan cepat sekiranya trend jangkitan COVID-19 meningkat kembali.

“Malah, mobilisasi anggota-anggota penguatkuasaan seperti polis dan tentera dari sekatan-sekatan jalan raya ke tempat-tempat perkumpulan dan tumpuan orang ramai seperti pasar raya, gudang beli-belah, stesen LRT, MRT, bas dan sebagainya untuk membantu pematuhan SOP PKPB di tempat-tempat ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close