Berita Utama

MARA jamin bantu semua pelajar cemerlang tanpa mengira parti

Sedia pelbagai cara pastikan sosio-ekonomi anak bangsa dinaik taraf

BANGI, 10 Zulhijjah 1444H, Khamis – Majlis Amanah Rakyat (MARA) memberi jaminan akan membantu pelajar miskin atau anak yatim yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi melanjutkan pengajian ke peringkat universiti.

Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, MARA menyediakan pelbagai cara bagi memastikan anak-anak bangsa dapat dimartabatkan dan dinaikkan taraf sosio-ekonomi melalui 269 institusi di agensi berkenaan yang menyediakan peluang pengajian kemahiran TVET.

“Saya tidak pernah dan tidak akan pernah membantu berasaskan warna parti politik.

“Walaupun UMNO yang menubuhkan MARA berasaskan resolusi usul ekonomi Perhimpunan Agong UMNO 1964, tidak pernah sesekali UMNO meletakkan syarat mesti sertai parti sebelum sesiapa sahaja dibantu ataupun ditolong baik dari segi pendidikan mahupun keusahawanan,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini

Justeru, beliau meminta pelajar cemerlang yang tidak berkemampuan untuk memaklumkan perkara itu kepada pihaknya supaya tiada yang tercicir menerima bantuan.

“Tolong maklumkan pada saya kalau ada pelajar susah, anak yatim cemerlang dapat 11A tetapi tercicir atas apa jua sebab.

“Saya akan bantu melalui MARA dan Yayasan Pelajaran MARA.

“Sesiapa sahaja dibantu ataupun ditolong baik dari segi pendidikan mahupun keusahawanan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button