Berita Utama

Rakyat sedang derita, tak guna ahli politik berbalah rebut kuasa

Lebih elok pembangkang kemuka idea bernas dalam menghadapi norma baru

BANGI, 12 Ramadan 1441H, Selasa – Tatkala negara sedang bergelut dengan pemulihan ekonomi ekoran pandemik COVID-19 dan juga wabak itu sendiri, amat dikesalkan apabila masih ada ahli politik yang taksub dengan perebutan kuasa bahkan lebih mementingkan agenda parti daripada kesejahteraan rakyat.

Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Prof Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz berkata, adalah amat malang sekali apabila ahli-ahli politik lebih memikirkan mengenai agenda dan pemimpin parti masing-masing mengatasi kepentingan rakyat. 

“Sampai bilakah kita hendak ‘bermain’ politik seperti ini?

“Bukankah lebih elok sekarang ini pemerintah dan pembangkang bekerjasama untuk mengemukakan idea-idea baru dan bernas dalam menghadapi norma baru, yang menurut ramai pakar dalam pelbagai bidang keadaan akan datang tidak akan sama seperti dahulu?,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau menegaskan, kerajaan yang baru ditubuhkan dua bulan lalu, mempunyai cabaran yang amat besar ketika ini dalam memastikan kestabilan negara dan juga dalam memastikan kepentingan rakyat terjaga dalam senario kemelesetan ekonomi yang terburuk dalam sejarah.

“Tidak ada guna untuk berbalah sesama sendiri atau tergesa-gesa menukar kerajaan sekarang ini untuk memenuhi agenda politik kepartian. Rakyat sedang menderita dan perlukan pembelaan serta jaminan untuk survival masa depan mereka.

“Saya menyeru daripada kita mendesak sidang Parlimen diadakan, daripada mengkiritik semborono sesama sendiri, daripada menyuarakan masalah pengagihan kerusi menteri dan jawatan GLC di kalangan parti-parti dan lain-lain, marilah kita sama-sama mengkaji dan mencari jalan keluar terbaik dari krisis negara,” katanya.

Semalam, pemimpin veteran parti tamak haloba DAP, Lim Kit Siang meminta rakyat Malaysia menyokong petisyen atas talian bagi membantah persidangan Parlimen yang akan diadakan sehari pada 18 Mei ini.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu dilaporkan menyeru semua rakyat Malaysia untuk menandatangi petisyen itu yang menggesa sekurang-kurangnya persidangan Parlimen berlangsung selama dua seminggu dengan bertumpukan isu berkaitan COVID-19.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button