Berita Utama

Sultan Selangor ingatkan rakyat biasakan amalan normal baharu

Walaupun PKPB sedikit kelonggaran, rakyat harus kekal patuh

SHAH ALAM, 12 Ramadan 1441H, Selasa – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan rakyat agar terus membiasakan diri dengan amalan normal baharu sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Titah baginda walaupun PKPB memberi sedikit kelonggaran bagi menyokong sektor ekonomi, rakyat seharusnya kekal patuh terhadap saranan tidak keluar rumah tanpa keperluan, tidak berhimpun dan sentiasa mengekalkan penjarakan sosial di tempat awam.

“Pastikan juga amalan memakai penutup hidung dan mulut serta menjaga kebersihan diri khususnya mencuci tangan atau menggunakan cecair pensanitasi tangan sebagai satu kemestian apabila keluar dari rumah.

“Nasihat beta kepada warga emas dan sesiapa yang tidak sihat atau menunjukkan gejala wabak COVID-19, duduk sahajalah di rumah. Beta amat berharap rakyat kekal berhati-hati dalam menjalani kembali rutin harian,” titah baginda menerusi satu kenyataan hari ini.

Titah Sultan Sharafuddin, sejak penularan wabak COVID-19 sehingga diisytiharkan sebagai pandemik yang turut melibatkan peningkatan kes di negara ini, baginda amat khuatir dengan keselamatan seluruh rakyat khususnya di Selangor.

“Beta juga sering memantau dan meneliti setiap data dan statistik kes jangkitan wabak ini dari semasa ke semasa sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa.

“Alhamdulillah, data semasa menunjukkan PKP yang dilaksanakan telah berjaya mendatarkan keluk wabak berkenaan dan keupayaan hospital-hospital dalam merawat kes COVID-19 juga adalah terkawal,” titah baginda.

Justeru, Sultan Sharafuddin menasihati umat Islam yang akan menyambut perayaan Aidilfitri bulan ini supaya meraikannya dalam suasana sederhana tanpa perlu merentas negeri untuk pulang ke kampung masing-masing.

Pada masa sama, baginda juga menyarankan umat Islam agar tidak menganjurkan rumah terbuka sepanjang bulan Syawal bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Sultan Sharafuddin turut menzahirkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada semua kakitangan barisan hadapan yang bertungkus-lumus menjalankan tugas masing-masing bagi membendung penularan wabak berkenaan.

“Beta juga menghargai ketabahan dan kesabaran semua ahli keluarga barisan hadapan pada waktu yang mencabar ini. Beta mendoakan supaya keadaan kembali pulih dan kita mampu menangani penularan wabak ini dengan sebaik mungkin,” titah baginda. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close