Berita Utama

Utamakan nyawa, Sabah kekal pendirian tak laksana PKPB

Shafie dakwa kerajaan Persekutuan buat keputusan tanpa maklum pada negeri

KOTA KINABALU, 12 Ramadan 1441H, Selasa – Kerajaan negeri Sabah kekal dengan pendirian untuk meneruskan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 12 Mei ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini masih perlu dikaji dan diteliti secara mendalam bersesuaian dengan keadaan di Sabah.

Katanya, kerajaan negeri memerlukan persediaan bagi melaksanakan PKPB kerana dakwanya, kerajaan Persekutuan memutuskan perkara itu tanpa berhubung dengan mereka terlebih dahulu.

“Dalam masa yang sama, kerajaan Persekutuan kena memahami keadaan persekitaran negeri sama ada boleh atau tidak melaksanakan apa yang baharu diputuskan secara serta-merta.

“Apa yang lebih penting adalah, kerajaan negeri perlu memberi keutamaan terhadap keselamatan nyawa manusia di peringkat negeri terlebih dahulu sebelum membuka lebih banyak sektor ekonomi.

“Saya harap keputusan ini membantu pihak industri dan pemilik perniagaan di negeri Sabah supaya dapat membuat persiapan lebih rapi sehingga 12 Mei nanti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pelaksanaan PKPB telah pun dicapai dalam Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri semasa Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara pada 28 April lalu.

Katanya, keputusan untuk membuka semula sektor-sektor ekonomi dalam tempoh PKPB dibuat dengan penuh teliti, berhati-hati dan bertanggungjawab serta disokong oleh data dan kajian oleh Kementerian Kewangan, MITI, Bank Negara Malaysia dan Khazanah Nasional Berhad.

Justeru, katanya, kerajaan memandang serius terhadap pendirian beberapa buah kerajaan negeri yang ingkar untuk melaksanakan keputusan ini.

“Kerajaan negeri yang berkenaan (yang tidak mahu bekerjasama melaksanakan PKPB) adalah tidak bersandarkan kepada punca kuasa yang sah di bawah mana-mana undang-undang dan adalah bercanggah dengan dasar kerajaan Persekutuan, lebih-lebih lagi memandangkan dasar Kerajaan Persekutuan tersebut telah pun dijadikan undang-undang yang berkuat kuasa di seluruh negara.

“Dalam hal ini, peraturan-peraturan yang dibuat di bawah Akta 342 adalah undang-undang khusus bagi tujuan mencegah dan mengawal penularan COVID-19.

“Oleh itu, ia mengatasi (prevail) peruntukan undang-undang bertulis yang lain berhubung dengan pencegahan dan pengawalan penyakit berjangkit,” tegasnya.

Selain Sabah, empat lagi negeri lain termasuk Pulau Pinang, Kedah, Pahang dan Sarawak – tidak mematuhinya, semalam.

Pulau Pinang pula akan meneruskan aktiviti perniagaan pada 8 Mei sementara negeri-negeri lain mengatakan bahawa mereka memerlukan beberapa hari lagi sebelum membuat keputusan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button