Berita Utama

2,362 penuntut IPT zon tengah pulang ke Selatan tanah air

Hantar di beberapa lokasi di Negeri Sembilan, Melaka, Johor

KUALA LUMPUR, 13 Ramadan 1441H, Rabu – Seramai 2,362 penuntut dari tujuh universiti di zon tengah pulang serentak ke beberapa lokasi selatan di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor bermula pukul 10 malam tadi dalam proses yang sekali lagi diuruskan oleh Universiti Pertanian Malaysia (UPM).

Menurut satu kenyataan daripada Kementerian Pengajian Tinggi malam ini, universiti awam terlibat itu di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya adalah UPM, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), UiTM, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur (UTM KL).

“Saya doakan kesemua pelajar selamat dalam perjalanan menaiki 14 buah bas ke 11 lokasi Ibu Pejabat Daerah (IPD) iaitu tiga di Negeri Sembilan, tiga di Melaka dan lima di Johor,” kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr. Noraini Ahmad dalam kenyataan itu.

Setibanya penuntut ini ke IPD masing-masing, mereka akan dihantar ke rumah.

Dr Noraini berpuas hati dengan kelancaran proses pada malam ini yang diselaraskan secara keseluruhan oleh UPM.

“Terima kasih kepada usaha Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Setia Datuk Dr. Aini Ideris dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman dalam memastikan proses ini berjalan lancar,” katanya.

UPM pada 2 Mei turut menjadi tuan rumah bagi proses perjalanan pulang penuntut Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) awam dan swasta zon tengah (Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya) ke beberapa lokasi di zon Perak melibatkan 1,876 pelajar. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close