Berita UtamaDunia

6 maut pesawat bawa bantuan COVID-19 terhempas di Somalia

Terdapat spekulasi ia ditembak jatuh: Bekas Menteri Pertahanan

MOGADISHU, 13 Ramadan 1441H, Rabu – Sebuah pesawat yang membawa bekalan bantuan untuk digunakan dalam memerangi COVID-19 terhempas di Somalia, semalam, sehingga mengorbankan kesemua enam penumpang di dalamnya, kata Menteri Pengangkutan Somalia, Mohamed Salad.

Press TV melaporkan, Mohamed Salad enggan berspekulasi mengenai punca nahas itu, tetapi seorang bekas Menteri Pertahanan mengatakan kepada Reuters bahawa beliau telah berbicara dengan seorang saksi di lapangan terbang yang mendakwa pesawat itu telah ditembak jatuh.

Pemberontakan Al Shabaab berlaku di daerah di mana pesawat itu jatuh, walaupun kota Bardale, di wilayah Selatan Bay dan lapangan terbangnya dijamin selamat oleh pasukan Somalia dan tentera Ethiopia.

Enam orang – juruterbang, pembantunya, jurutera penerbangan dan juruterbang pelatih serta dua orang yang bekerja untuk syarikat penerbangan – berada di dalam pesawat berkenaan, kata Mohamad Salad kepada Reuters.  

Lima mayat berjaya ditemui setakat ini, katanya.

Agensi Berita Somalia yang dikendalikan oleh kerajaan mengatakan, pesawat itu milik African Express Airways dan membawa bekalan untuk digunakan dalam memerangi coronavirus.

“Sebuah pesawat Airways (Express) dari Mogadishu terbang ke Baidoa dan kemudian meneruskan penerbangannya ke bandar Bardale di mana ia terhempas.

“Bagaimanapun, tidak jelas mengapa ia terhempas,” kata agensi itu di laman webnya. 

Bekas Menteri Pertahanan Somalia, Abdirashid Abdullahi Mohamed memberitahu Reuters bahawa beliau telah berbicara dengan seorang saksi di lapangan terbang yang mengatakan bahawa pesawat itu telah melakukan percubaan awal untuk mendarat, dan kemudian dilihat ditembak di bahagian sayap pada percubaan mendarat kedua.

Rakaman video menunjukkan pesawat itu terbakar dan serpihannya bertebaran di kawasan sekitar.

Ethiopia mempunyai tentera di Baidoa dan Bardale sebagai sebahagian daripada misi pengaman Kesatuan Afrika. Jurucakap tentera Ethiopia mengatakan bahawa dia tidak menyedari kemalangan itu.

Pemberontak al Shabaab pula tidak bersedia untuk memberi komen. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close