Berita Utama

N.Sembilan tawar program ‘Fast Track’ SPM bagi lepasan tahfiz tahun depan

Keutamaan diberikan kepada mereka yang sudah selesai 30 juzuk

SEREMBAN, 7 Rabiulakhir 1443H, Jumaat – Kerajaan Negeri Sembilan menawarkan Program Fast Track Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) secara sepenuh masa aliran Sains untuk 50 pelajar lepasan tahfiz di negeri itu mulai Januari tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata tawaran diberikan kepada pelajar yang telah menyelesaikan minimum 20 juzuk al-Quran tetapi keutamaan kepada yang sudah selesai 30 juzuk.

“Tempoh pembelajaran adalah selama dua tahun dengan pelajar diwajibkan tinggal di asrama Sekolah Sri Seremban, ini kerana tidak mudah untuk mengajar mata pelajaran seperti Kimia, Fizik dan Biologi dalam tempoh setahun untuk pelajar yang tidak mempunyai asas dalam pelajaran ini.

“Ia bagi memberi peluang kepada pelajar lepasan tahfiz mempelajari akademik sekali gus dapat melahirkan jurusan profesional seperti akauntan, peguam, jurutera, doktor perubatan dalam kalangan hafiz dan hafizah,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Dalam pada itu beliau memaklumkan seramai 50 pelajar sedang mengikuti program berkenaan di Maahad Tahfiz As-Sa’idiyyah dalam jurusan Perniagaan dan Pengajian Islam.

Mohamad Rafie berkata mulai tahun depan juga, seramai 50 pelajar tahfiz akan ditawarkan untuk mengambil aliran Pengajian Islam.

Menurutnya pelajar yang berminat boleh mengisi borang yang dilampirkan di Facebook rasminya dan pemohon yang berpotensi akan dipanggil untuk ditemu duga pada bulan depan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button