Berita Utama

Kedah bayar bantuan khas RM300 berperingkat mulai 13 Mei

Jika tiada akaun bank, akan dibayar tunai oleh penyelaras DUN

ALOR SETAR, 13 Ramadan 1441H, Rabu – Bayaran bantuan khas tunai berjumlah RM300 kepada golongan yang terkesan akibat pandemik COVID-19 di negeri ini akan dibayar secara berperingkat bermula 13 Mei ini, kata Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Beliau berkata, bantuan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi bulan lepas itu membabitkan sebanyak 22,579 pemohonan dan kerajaan negeri telah menetapkan kuota seramai 700 penerima bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan dikreditkan terus ke akaun penerima bermula tarikh itu.

“Bagi penerima yang tidak mempunyai akaun bank, bantuan khas ini akan disampaikan secara tunai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri dan penyelaras DUN masing-masing,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mukhriz berkata, permohonan bertindih dan tidak lengkap akan dikembalikan ke pusat khidmat untuk diproses semula.

Beliau berkata mesyuarat Exco kerajaan negeri juga memutuskan operasi stesen minyak di seluruh negeri dilanjutkan dari 6 pagi hingga 10 malam dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berbanding 6 pagi hingga 8 malam sebelum ini.

Katanya waktu operasi stesen minyak dalam jajaran lebuh raya di Kedah adalah dari 6 pagi hingga 12 malam dan sehubungan itu pengguna jalan raya dinasihat mengisi minyak yang mencukupi bagi mengelakkan mereka terkandas dalam perjalanan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button