Berita Utama

MDN gesa kerajaan benarkan solat Jumaat, solat Aidilfitri

Memandangkan kerajaan benar sektor ekonomi, sosial dibuka semula

SHAH ALAM, 13 Ramadan 1441H, Rabu – Jawatankuasa Dewan Tertinggi Majlis Dakwah Negara (MDN) menggesa kerajaan membenarkan solat Jumaat dan solat sunat Hari Raya Aidilfitri diadakan di beberapa masjid utama di seluruh negara.

Pengerusinya, Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Ab Majid berkata, gesaan itu dibuat memandangkan kerajaan telah membenarkan sektor ekonomi dan sosial dibuka semula selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Jika PKPB boleh dilaksanakan, ini bermakna perhimpunan bersyarat di masjid dan surau bagi tujuan solat Jumaat dan solat Hari Raya Aidilfitri juga boleh dilakukan, sebagai contoh, sesebuah syarikat atau kilang yang membenarkan operasi dengan 100 peratus orang pekerja,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Dalam pada itu, Mahmood Zuhdi berkata, pihaknya menyarankan pihak berkuasa agama dan kesihatan menyenaraikan kriteria yang dibenarkan untuk bersolat di masjid.

“Antaranya ialah kebenaran tersebut diberikan kepada masjid-masjid utama sahaja, misalnya masjid-masjid negeri dan masjid-masjid daerah yang mampu memenuhi syarat-syarat dalam perintah PKPB.

“Solat tersebut hendaklah dihadiri oleh tidak lebih daripada 50 jemaah yang terdiri dalam kalangan mereka yang benar-benar dikenali oleh pihak pentadbiran masjid dan memenuhi syarat-syarat kesihatan yang membolehkan mereka berada dalam sesuatu perhimpunan yang terkawal,” katanya.

Mahmood Zuhdi berkata, perhimpunan tersebut hendaklah tertakluk kepada semua syarat kesihatan dan keselamatan sosial seperti mana yang dikenakan ke atas sektor lain yang menerima faedah daripada syarat-syarat yang terdapat dalam PKPB itu.

Dalam masa sama, Mahmood Zuhdi berkata, MDN menyokong keputusan kerajaan mengurangkan kawalan pergerakan sosial dengan memperkenalkan PKPB bagi mengatasi koronavirus (Covid–19).

“Sebagaimana maklum, di bawah perintah baharu ini pelbagai kelonggaran telah diberikan terutama sekali bagi mengatasi kesan buruk dasar penjarakan sosial terhadap perkembangan ekonomi negara.

“MDN juga berpendapat pengimbangan antara objektif kesihatan masyarakat dan kepentingan ekonomi negara merupakan satu kebijaksanaan yang tinggi ditunjukkan kerajaan dalam menyelesaikan Covid-19 yang mengancam kesejahteraan hidup masyarakat sekarang,” katanya

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close