Berita UtamaDunia

Moratorium: Tiada caj tambahan bayaran ansuran sewa beli

Peminjam sambung bayar ansuran seperti biasa ikut terma bank

BANGI, 13 Ramadan 1441H, Rabu – Tiada caj tambahan dikenakan sewaktu tempoh moratorium ke atas bayaran ansuran bagi pinjaman sewa beli konvensional dan Syariah, menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata, Kementerian Kewangan telah mencapai kata sepakat dengan industri perbankan susulan saranan kerajaan mengenai pelupusan caj tambahan ke atas ansuran pinjaman sewa beli.

Katanya, persetujuan dicapai untuk menetapkan bahawa jumlah ansuran bulanan pinjaman tidak akan berubah bagi peminjam sewa beli konvensional dan Syariah sepanjang tempoh pembiayaan berkenaan.

“Sehubungan itu, peminjam akan perlu menyambung pembayaran ansuran seperti biasa berdasarkan terma-terma perjanjian dengan bank masing-masing, termasuk tambahan 6 bulan bagi keseluruhan jadual pembiayaan jika memilih untuk memanfaatkan moratorium tersebut.

“Maklumat lanjut boleh didapati daripada bank masing-masing. Kerajaan berharap keputusan ini akan dapat meringankan beban rakyat dalam tempoh yang mencabar ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Tengku Zafrul menggesa bank supaya mempertimbangkan untuk tidak mengenakan faedah terakru (bagi pinjaman sewa beli) atau keuntungan (bagi pembiayaan Islam berkadar tetap) sepanjang tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman selama enam bulan.

“Mengambil kira terdapat kemungkinan ia dapat dilaksanakan dan setelah mendengar permintaan rakyat, saya ingin menyarankan agar semua institusi kewangan khususnya yang terlibat dalam moratorium ini untuk mempertimbangkan supaya faedah terakru (bagi pinjaman sewa beli) atau keuntungan (bagi pembiayaan Islam berkadar tetap) dilupuskan sewaktu tempoh enam bulan moratorium,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button