Berita UtamaPendapat

Kuasa oh kuasa

Tumpu pelbagai jenis kuasa jika ingin lihat perubahan

JARANG-jarang dibahaskan kuasa apakah yang paling berkuasa? Kuasa politikkah? Kuasa ekonomikah? Kuasa sosialkah? Kuasa teknologikah? Atau atau …

Bahkan kadang-kadang dibahaskan, kuasa yang mendorong kepada berlakunya penjajahan satu negara ke atas negara yang lain; dorongan kuasa politikkah? Atau dorongan kuasa ekonomi? Atau dorongan dendam agama? Atau atau ….

Dan begitulah perbincangannya berterusan tanpa jawapan yang tuntas.

Penguasaan Yahudi di Madinah dihancurkan oleh Nabi  ﷺ dengan kedudukannya sebagai ketua yang ditaati oleh majoriti penduduk Madinah, dengan usaha ekonomi yang melumpuhkan pasar Bani Qainuqa’, dengan pengusaan sumber air, dengan pembinaan tentera yang meningkat bilangannya dari satu masa ke satu masa, dengan kekuatan pendidikan yang mendidik umat Islam, dengan kekuatan sosial yang membina wala’ …. dan banyak lagi kekuatan yang lain yang dibina seiringan. Mampukah Rasulullah  ﷺ menundukkan Yahudi jika hanya satu kekuatan sahaja yang dibina?

Dalam dunia kita hari ini, kita pernah ada bank dan pejabat pos yang banyak. Setiap orang berbaris memegang buku untuk memasukkan duit, atau mengeluarkan duit atau sekadar kemaskini akaun untuk melihat baki. Satu demi satu bank menutup cawangannya, dan begitu juga pejabat-pejabat pos. Bukan kehendak golongan peniaga asalnya hingga bank menutup cawangannya …. tapi perubahan yang dilakukan oleh golongan IT lah yang banyak memaksa bank mengubah modus operandi.

Kita juga pernah ada akta lesen televisyen (TV). Setiap rumah dahulunya perlu ada lesen untuk memiliki TV. Kita lekat lesen itu dengan paku tekan di dinding. Jika tidak ada boleh didenda oleh kerajaan. Dengan berlalu masa, lesen itu menjadi tidak releven. Bukan dihapuskan oleh penggubal undang-undang … tetapi pemain media yang mengubah ‘permainan’.

Secara mudah juga kita menyaksikan kes musang king di Raub, kes mesin judi di Sungai Buloh, kes pengilang haram di Selangor, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kes ‘terbang pagar’ dan banyak kes yang lain …. siapakah yang berkuasa sebenarnya di situ? Ahli politikkah? Pentadbirkah? Ahli perniagaan kah? Samsengkah? Atau siapa sebenarnya yang memegang ‘game’?

Pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menjadi doktor pakar dan jurutera. Yang rendah sedikit menjadi pentadbir, manakala yang menguasai adalah doktor dan jurutera. Yang rendah lagi menjadi ahli politik dan dia boleh pengaruhi pentadbir. Yang rendah lagi jadi peniaga besar dan dia kuasai ahli politik. Yang tak lulus, sebahagian jadi samseng dan dia kuasa peniaga. Ini hanya misalan main-main untuk kita berfikir. Tidak menggambarkan lepasan SPM hakiki.

Kekuatan Barat dan Yahudi dalam mencengkam dunia, bukan terletak kepada kekuatan politik semata-mata. Tetapi mereka berusaha dalam tempoh yang panjang dalam pelbagai bidang penguasaan sehingga hampir sempurna semua bidang penguasaan mereka.

Mereka mencetuskan revolusi di Eropah hingga menumbangkan kerajaan-kerajaan beraja. Di masa yang sama mereka membina kekuatan tentera dan mula menjajah negara-negara Islam yang luasnya 32 juta kilometer (km) persegi.

Di masa yang sama serentak dengan itu mereka membangunkan segala macam ideologi baru (sekularisma, demokrasi, komunis, kapitalisme dan lain-lain) dan dipasarkan di negara-negara yang mereka jajah. Seiring dengan itu mereka membina kekuatan ekonomi mereka melalui syarikat-syarikat yang mereka tubuhkan dan membangunkan sistem bank yang kemudiaannya tiada negara yang selamat dari ketamakan monopoli ekonomi mereka.

Mereka juga menguasai bidang media dan penyiaran sehingga golongan Islamis pun terpaksa menumpang medium media mereka untuk berdakwah. Belum lagi masuk alam gelap yang mereka bangunkan dengan samseng-samseng antarabangsa yang muncul dalam bentuk yang ‘terhormat’ memasarkan dadah, pelacuran dan sebagainya.

Tanpa perlu untuk menghurai panjang, lihatlah kekuatan Cina di Malaysia. Apakah mereka hanya menumpukan kekuatan mereka kepada pembinaan DAP dan MCA sahaja? Sudah tentulah jelas kepada kita segala macam kekuatan yang mereka miliki yang sebenarnya mereka bina dalam tempoh yang amat panjang sebelum ini.

Dengan itu sebagai seorang pendakwah yang ingin melihat perubahan, berilah tumpuan kepada segala jenis kuasa. Jangan rendahkan atau pandang sambil lewa mana-mana bentuk kuasa. Bahkan segala jalur kuasa politik yang ada di Malaysia hari ini bermula dengan gerakan sosial sebenarnya. Jalur kuasa politik yang masih kuat hari ini adalah yang mengekalkan gerak kerja sosial, pendidikan, ekonomi, media dan sebagainya dalam bentuk yang pelbagai dalam masyarakat.

Jika kita memahami congak kuasa tersebut, kekalutan politik yang berlaku sekarang tidak akan merunsingkan kita. Kita masih ada banyak ruang dan medan untuk menguasai dan memintas. Dan di sudut pandang yang lain, kita ada banyak medan kerja yang perlu dilakukan dengan teliti dan tekun.

Allah SWT juga mengarahkan kita untuk membina segala jenis kekuatan. Kerana kekuatan yang pelbagai itulah sahaja yang mampu untuk menggempurkan gerakan musuh.

وَأَعِدُّوا لَهُم مَّا اسْتَطَعْتُم مِّن قُوَّةٍ وَمِن رِّبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ وَآخَرِينَ مِن دُونِهِمْ لَا تَعْلَمُونَهُمُ اللَّهُ يَعْلَمُهُمْ ۚ وَمَا تُنفِقُوا مِن شَيْءٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنتُمْ لَا تُظْلَمُونَ

“Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya,”
(Al-Anfal: 60)

Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni
Timbalan Presiden Isma

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button