Berita Utama

Perketatkan jualan arak, baru boleh tangani isu pemandu mabuk

'Takkan cucu menteri mati dilanggar pemabuk, baru ambil tindakan'

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 13 Ramadan 1441H, Rabu – Larangan pub dan restoran yang menjual minuman keras beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), boleh menjadi antara usaha awal kerajaan dalam menangani insiden membabitkan pemandu mabuk.

Ahli Jawatankuasa Pusat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Omar Kassim menyambut baik dan memuji langkah yang dibuat Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berhubung larangan itu.

Beliau berkata, sebagai sebuah negara Islam, penjualan arak mesti dikawal dan tidak boleh dibenarkan dijual sewenang-wenangnya memandangkan ia bukanlah makanan ruji yang mesti ada.

“Dalam masa sama, kerajaan perlu berusaha mendidik rakyat mengenai kesan ketagihan arak secara menyeluruh. Walaupun ia adalah hak individu bukan Islam, namun kerajaan berperanan mengekang ketagihan arak.

“Masyarakat akan menjadi lebih sihat dan selamat tanpa arak, bahkan mampu menangani isu kemalangan membabitkan pemandu mabuk yang semakin berleluasa,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Semalam, Annuar Musa melarang pub dan restoran yang menjual minuman alkohol beroperasi sepanjang tempoh PKPB, selepas mendapat aduan daripada warga kota bukan Islam.

Annuar berkata, walaupun pub atau restoran berkenaan ada menghidang makanan, tetapi katanya ia tetap termasuk dalam senarai seperti pusat hiburan atau karaoke dan belum boleh beroperasi ketika ini.

Mengulas perkara itu, Ustaz Omar mengharapkan tindakan itu sebagai permulaan untuk kerajaan memandang serius isu arak, terutama membabitkan keselamatan pengguna jalan raya.

“Tak mungkin kita hendak menunggu ada cucu menteri mati dilanggar pemandu mabuk, baru tindakan sewajarnya nak diambil. Kerajaan perlu mulakan tindakan berperingkat dalam mengetatkan penjualan minuman keras.

“Syabas kepada Tan Sri Annuar Musa. Ini hanyalah permulaan dan perlu dipertingkatkan serta adakan perbincangan khusus dengan Kabinet serta kementerian lain yang berkaitan,” katanya.

Kes kemalangan maut membabitkan pemandu mabuk kerap berlaku, namun hukuman yang dikenakan terhadap pesalah masih dianggap ‘ringan’.

Mengikut undang-undang sedia ada, individu yang memandu dalam keadaan mabuk boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan.

Bagi kesalahan Seksyen 41 Akta 333 memperuntukkan bahawa mana-mana orang yang telah didapati bersalah menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau merbahaya hendaklah dihukum penjara untuk tempoh tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun dan dikenakan denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM20,000.

Manakala bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kematian pula, pesalah boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 dan penjara maksimum 12 bulan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button