Berita Utama

Ramai lagi tokoh wibawa, kenapa pilih pendukung UEC, penentang agenda Islam?

Rakyat kecewa, Lian Ker tidak layak jadi Timbalan Menteri Perpaduan

BANGI, 13 Ramadan 1441H, Rabu – Naib Presiden parti perkauman, MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker tidak layak menggalas jawatan Timbalan Menteri Perpaduan, memandangkan beliau pernah terpalit dengan beberapa pendirian yang menjejaskan aspirasi perpaduan rakyat di negara ini.

Ketua Media Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT), Haji Rashidi Haris berkata, Lian Ker adalah antara pendukung utama dalam isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), selain menjadi individu kuat yang mendesak kerajaan Pakatan Harapan (PH) – yang didominasi DAP – mempercepatkan mengiktiraf sijil berkenaan.

“Seperti yang kita tahu UEC hanya memberi peluang kepada sesetengah kaum sahaja di Malaysia, dan bakal merendahkan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan di Malaysia.

“Malah, beliau sebelum ini pernah menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai antara tiga tokoh yang menjadi halangan besar pengiktirafan UEC.

“Dengan sikap begitu, bagaimana kita mahu menerima Timbalan Menteri Perpaduan yang menyokong UEC di dalam kerajaan sedia ada?,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Lian Ker mengangkat sumpah jawatan sebagai Timbalan Menteri Perpaduan Negara di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

Pelantikan Lian Ker menerima bantahan kebanyakan pihak kerana disifatkan antara individu yang lantang menentang hukum dan dasar berkaitan dengan agama Islam.

Mengulas lanjut, Rashidi berkata, Lian Ker juga antara individu yang cuba menimbulkan keraguan terhadap agenda Bumiputera di dalam ‘Wawasan Kemakmuran Bersama’ yang digagaskan kerajaan sebelum ini.

“Umum mengetahui bahawa dasar afirmatif merupakan pendekatan sejak dahulu lagi bagi mengurangkan kesenjangan kekayaan antara kaum seterusnya menutup sebab-sebab yang boleh menjadi punca kepada perpecahan di Malaysia.

“Sekali lagi, dengan isu ini kita tidak mahu Timbalan Menteri Perpaduan yang gagal menghayati semangat dasar afirmatif dan juga hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera,” katanya.

Katanya lagi, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Mahkota itu juga terkenal dengan kelantangannya mengkritik hukum dan dasar berkaitan Islam, termasuk pindaan Rang Undang-Undang Akta 355 (RUU355) yang dibawa UMNO-PAS sebelum ini.

“Kegagalan menentukan apa yang menjadi hak-hak orang Islam dan bukan Islam berpotensi mewujudkan ketegangan dan konflik di Malaysia. Justeru, kenapa harus dilantik seseorang yang mempunyai rekod yang teruk sebegini?

“Kita rasakan kerajaan PN yang telah disimbolkan sebagai kerajaan Melayu Islam tidak terdesak dan perlu melantik orang politik sebegini sebagai Timbalan Menteri Perpaduan.

“Ini kerana masih terdapat tokoh-tokoh lain yang terdiri daripada golongan akademik atau masyarakat seperti Prof Datuk Dr Teo Kok Seong yang merupakan Felo Utama di Institut Kajian Etnik (KITA) yang jauh lebih layak daripada beliau,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close