Berita Utama

Saravanan tak patut guna bahasa Tamil untuk urusan rasmi

'Seolah-olah sama tarafkan kedudukan bahasa Tamil dengan Melayu'

BANGI, 13 Ramadan 1441H, Rabu – Tiada keperluan atau alasan yang munasabah untuk Menteri Sumber Manusia, M Saravanan menggunakan bahasa Tamil dalam acara rasmi serta tidak rasmi di jabatan dan agensi kerajaan, termasuk ucapan sempena Hari Pekerja baru-baru ini.

Walaupun Malaysia mempunyai pekerja daripada pelbagai kaum dan etnik, pemimpin MIC itu sewajarnya menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengucapan sama ada di platform rasmi atau separa rasmi, kata Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Ustaz Mohd Azizee Hasan.

Beliau berkata, semua kaum dan etnik di negara ini wajib menjunjung bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan tiada lagi pekerja di negara ini tidak boleh berbahasa atau memahami bahasa Melayu setelah 63 tahun merdeka.

“Walaupun YB Menteri telah menyampaikan ucapan di dalam versi bahasa Melayu, namun di dalam sebuah negara yang meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, YB Menteri wajar menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengucapan sama ada di platform rasmi atau separa rasmi.

“Tindakan YB Menteri ini seolah-olah menyamatarafkan kedudukan bahasa Tamil dengan bahasa Melayu dan mencabar keluhuran Perlembagaan serta kedaulatan bahasa Melayu seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan dan Akta Bahasa Kebangsaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Saravanan teruk dikecam netizen gara-gara memberi ucapan dalam bahasa Tamil ketika sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei lalu.

Menerusi ucapan yang disiarkan di halaman rasmi Facebook Bernama TV, rata-rata netizen mempertikai tindakan Saravanan selain menyindir sekiranya beliau adalah pemimpin kepada kerajaan India.

Bahkan, beliau juga pernah dikecam kerana tindakan sama selepas tular posternya memberikan ucapan ulang tahun ke-74 kepada Radio Televisyen Malaysia (RTM), di mana selain teks bahasa Melayu, poster itu juga mengandungi ucapan dalam bahasa Tamil.

Sebagai NGO pendidik, Mohd Azizee berkata, i-Guru bersedia untuk bersemuka dan berbincang dengan Saravanan berhubung isu berkenaan, demi memastikan bahasa Melayu kekal menjadi alat penyatuan kaum dan perpaduan semua bangsa.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button