Berita Utama

11 warga asing larikan diri selepas jalani ujian saringan ditahan

Keputusan ujian saringan 145 pekerja tapak binaan negatif COVID-19

KUALA LUMPUR, 14 Ramadan 1441H, Khamis – Seramai 11 individu daripada 145 warga asing yang melarikan diri selepas menjalani ujian saringan wabak COVID-19 di tapak pembinaan Pavilion Embassy, Jalan Ampang di sini, kelmarin, ditahan polis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata, lima daripadanya berjaya ditahan hari ini manakala enam lagi ditahan semalam.

Katanya buat masa ini, pihaknya sedang mengesan saki-baki pekerja warga asing yang melarikan diri itu.

“Kesemua yang melarikan diri itu adalah antara lebih 300 pekerja tapak pembinaan berkenaan, yang disaring selepas ada rakan sekerja yang didapati positif wabak berkenaan.

“Bagaimanapun kami dimaklumkan bahawa keputusan ujian kesemua 145 pekerja itu adalah negatif COVID-19,” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman, di sini, malam tadi.

Sebelum ini, sebuah portal berita tempatan melaporkan 145 pekerja warga asing melarikan diri, selepas pasukan perubatan melakukan saringan COVID-19, di kawasan tapak pembinaan itu.

Dalam pada itu Huzir berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian sembilan warga asing terdiri daripada enam lelaki Indonesia dan tiga Bangladesh, yang melarikan diri dari sebuah pusat kuarantin di Petaling Jaya, kelmarin.

“Usaha mengesan mereka sedang dijalankan,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button