Berita Utama

ADUN Chini meninggal

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Felda Chini pagi ini

KUANTAN, 14 Ramadan 1441H, Khamis  – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini Datuk Seri Abu Bakar Harun meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur dipercayai akibat serangan jantung, awal pagi tadi. 

Abu Bakar berusia 60 tahun.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengesahkan pemergian Allahyarham dalam catatan di Facebook dan Instagram rasmi beliau.

Khabar sedih itu turut dikongsi rakan-rakan politik Abu Bakar, yang merupakan Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Pekan dan pernah memegang jawatan Timbalan Ketua bahagian itu, menerusi media sosial masing-masing. 

Berkelulusan Sijil Perakaunan dari Maktab Kerjasama Malaysia, Abu Bakar pernah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda Pahang pada 2013 hingga 2018.

Jenazah Abu Bakar akan dibawa pulang dari Kuala Lumpur untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Felda Chini lewat pagi ini. 

Allahyarham Abu Bakar meninggalkan isteri Datin Seri Razana Fatin [email protected] dan difahamkan dua orang anak, hasil perkahwinan pertama arwah.   

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, Abu Bakar mempertahankan DUN Chini dengan majoriti 4,622 undi menewaskan Mohd Razali Ithnain dari PKR dan Mohd Fadhil Noor Abdul Karim, calon PAS. 

Abu Bakar merupakan penyandang kerusi DUN Chini sejak PRU ke-11 pada 2004. 

Chini adalah satu daripada empat kerusi DUN di bawah Parlimen Pekan yang disandang oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close