Berita Utama

Aktiviti sukan di Pulau Pinang dibenarkan mulai 13 Mei

Tempahan, sewaan kompleks sukan masih tak diterima

GEORGE TOWN, 14 Ramadan 1441H, Khamis – Penduduk di Pulau Pinang dibenar untuk menjalankan aktiviti sukan ringan bermula 13 Mei ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Soon Lip Chee.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, pelaksanaan aktiviti sukan itu perlu bersandarkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) seperti diputuskan dalam fasa ‘Strategi Pemulihan Berperingkat Pulau Pinang’ pada 4 Mei lepas.

“Aktiviti sukan yang dibenarkan adalah seperti badminton dan tenis di kawasan terbuka, joging secara individu dengan penjarakan sosial sejauh dua meter, berbasikal secara individu dengan penjarakan sosial sejauh lima meter dan golf sahaja,” katanya.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan dan cadangan daripada beberapa agensi berkaitan seperti Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Perbadanan Stadium dan Kawasan Lapang Pulau Pinang.

“Kerajaan negeri telah memutuskan bahawa semua stadium dan kompleks sukan di bawah kendalian Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) kekal ditutup bagi kegunaan orang awam.

“Stadium dan kompleks sukan terlibat yang tidak akan dibuka adalah Stadium Bandaraya; Kompleks Sukan Balik Pulau; Kompleks Sukan Bandaraya Relau; Kompleks Sukan dan Rekreasi Bertam; Kompleks Sukan dan Rekreasi SONY; Kompleks Sukan dan Rekreasi Jalan Betek, Stadium Negeri Batu Kawan dan semua balai rakyat,” katanya.

Beliau berkata, semua tempahan dan sewaan kompleks sukan, stadium dan padang awam juga masih tidak akan diterima manakala taman rekreasi awam akan kekal ditutup, termasuk Taman Botani, Taman Bandaraya (Youth Park), Taman Metropolitan, Empangan Air Itam dan Empangan Mengkuang.

Katanya lagi, aktiviti mendaki bukit di dalam kawasan bukit, taman rimba atau hutan simpanan di bawah seliaan Jabatan Perhutanan dan Jabatan Perhilitan adalah tidak dibenarkan selaras dengan arahan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.

“Orang awam dibenarkan untuk menggunakan taman-taman kejiranan dan Pocket Park yang berdekatan di kawasan perumahan masing-masing bagi aktiviti berjoging dan kecergasan ringan sahaja secara individu tanpa melibatkan aktiviti kumpulan dan dikehendaki mematuhi penjarakan sosial sekurang-kurangnya dua meter bermula pada pukul 7 pagi hingga 7 malam sahaja,” katanya.

Beliau berkata, orang awam yang mengalami gejala seperti demam, batuk dan selesema dilarang untuk mengunjungi taman rekreasi dan padang awam.

Dalam pada itu, Soon berkata, bagi program latihan atlet negeri yang akan mewakili negeri Pulau Pinang ke Sukan Malaysia ke-20 Johor (Sukma 2020) di bawah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang dibenarkan melakukan latihan secara berperingkat bermula 13 Mei.

“Permulaan latihan secara berperingkat melibatkan dua fasa di mana Fasa Peringkat Pertama akan bermula pada 13 Mei ini dan Fasa Peringkat Kedua akan bermula pada 1 Jun ini berdasarkan SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara,” katanya. – Bernama

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close