Berita Utama

Bersatu tiada hasrat sertai semula PH

Tun M tidak ada kuasa tandatangan kenyataan bersama

KUALA LUMPUR, 14 Ramadan 1441H, Khamis – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak berhasrat menyertai semula gabungan Pakatan Harapan (PH), kata Ketua Penerangan Bersatu, Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Beliau berkata, Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu sebagai badan eksekutif tertinggi parti dalam mesyuarat pada 23 Februari lalu memutuskan untuk keluar daripada PH dan tidak lagi mempunyai apa-apa hubungan kerjasama dengan gabungan berkenaan.

“Sebarang usaha untuk membawa Bersatu bekerjasama dengan PH adalah bercanggah dengan keputusan rasmi parti. Adalah menjadi tanggungjawab setiap ahli parti untuk sentiasa mematuhi keputusan yang dibuat oleh parti serta melaksanakan dasar-dasar parti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu yang memberi gambaran seolah-olah Bersatu berminat untuk menyertai semula PH.

Mohd Radzi yang juga Menteri Pendidikan turut menegaskan bahawa kenyataan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang menyeru ahli Bersatu supaya bekerjasama semula dengan PH adalah pendirian peribadi beliau dan tidak melambangkan pendirian rasmi parti.

“Saya ingin mengingatkan mana-mana ahli yang ingkar termasuk dengan sengaja menyertai gabungan parti-parti lain yang bercanggah dengan pendirian parti adalah tergugur keahliannya secara serta-merta menurut Fasal 10.2.3 Perlembagaan Bersatu.

“Oleh itu, setiap ahli hendaklah sentiasa mematuhi pendirian rasmi parti yang telah dibuat secara kolektif mengikut kaedah dan saluran yang selaras dengan perlembagaan parti,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menegaskan bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad tidak mempunyai kuasa untuk menandatangani kenyataan bersama PH, Bersatu dan Parti Warisan Sabah bertarikh 4 Mei lepas dan ia adalah satu tindakan yang bercanggah dengan pendirian parti. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button