Berita Utama

Boleh perkenal skim gaji wajar atau pendapatan asas nasional

Ekonomi global meleset, rakyat dibuang kerja mungkin meningkat

BANGI, 14 Ramadan 1441H, Khamis – Kerajaan perlu melaksanakan strategi atau program baharu khusus untuk ekonomi rakyat – dalam mendepani wabak COVID-19, kata Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin.

Dalam konteks Malaysia, tindakan ini penting supaya fasa pemulihan ekonomi dapat dilaksanakan dengan jayanya, termasuk langkah memperkasa dan menyusun semula struktur ekonomi dapat dicapai.

Ketua Unit Penyelidikan Risiko Ekonomi dan Politik Universiti Utara Malaysia itu berkata, matlamat utama sekarang adalah supaya ekonomi kita bukan sahaja pulih, tetapi dapat dipacu semula ke landasan betul pada masa hadapan. 

Katanya, ketika ini, ekonomi global dijangka mengalami kemelesetan dan jumlah rakyat Malaysia dijangka dibuang kerja meningkat.

“Lihat sahaja apa berlaku pada hari pertama PKPB dilaksana. Ramai dalam kalangan rakyat ke kedai pajak gadai. 

“Jadi mungkin juga, dalam strategi pemulihan ekonomi negara ini, kerajaan boleh menambah strategi, langkah dan program baharu yang khusus kepada ekonomi rakyat, seperti memperkenalkan skim gaji wajar ataupun pendapatan asas nasional.

“Segala kekangan dalam pelaksanaan strategi pada setiap fasa perlu ditangani segera. Begitu juga dalam masa menjana semula ekonomi ini, persefahaman antara Kerajaan Persekutuan dan negeri penting dalam usaha bersama menangani kedua-dua isu kesihatan dan ekonomi,” katanya dalam satu artikel yang disiarkan di BHOnline, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Irwan berkata, dalam menilai sama ada ini masa sesuai untuk melakukan PKPB, perlu fahami juga trade-off atau akibat yang terbabit terutama aspek kesihatan, ekonomi, dan sosial. 

Menurut kenyataan Perdana Menteri dalam perutusan khas sempena Hari Pekerja lalu, Malaysia sudah berada pada fasa ketiga, iaitu menjana semula ekonomi.

“Dua fasa sebelum ini adalah ketegasan dan membina ketahanan. Pada hujung bulan ini, kerajaan akan membentangkan pelan pemulihan ekonomi negara. 

“Maksudnya, selepas menjana semula ekonomi dalam PKPB, negara akan beralih kepada fasa pemulihan ekonomi dalam menghadapi normal baharu pasca PKPB,” katanya.

Katanya lagi, wabak COVID-19 adalah isu global dan disebabkan itu kerjasama global penting untuk mengukur kebersediaan dalam membuka ekonomi secara berperingkat.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button