Berita Utama

Diarah patah balik jika gagal ikut jadual rentas negeri

98 sekatan jalan raya seluruh negara, ditambah jika perlu

KUALA LUMPUR, 14 Ramadan 1441H, Khamis – Orang ramai yang gagal mematuhi jadual pergerakan rentas negeri ditetapkan akan diarah berpatah balik.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, perkara sama dilakukan terhadap mereka yang ingkar serta mengambil kesempatan susulan pergerakan rentas negeri bermula hari ini.

“Mereka yang ingkar untuk merentasi sempadan negeri dan tidak mengikut jadual yang ditetapkan, akan diarahkan berpatah balik.

“Bagi mereka yang ingkar boleh dikenakan tindakan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No. 5) 2020 dan berdepan denda RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali jika didapati bersalah,” katanya menerusi program Bual Bicara kendalian Sinar Harian hari ini.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum ini mengeluarkan jadual pergerakan rentas negeri selama empat hari bermula hari ini bagi membolehkan orang ramai yang terkandas disebabkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pulang ke kediaman masing-masing.

Bermula dengan Kuala Lumpur hari ini, ia diikuti pergerakan pulang dari Perak, Johor dan Kelantan esok, manakala Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka dan Pahang (Sabtu) dan Selangor, Negeri Sembilan, dan Terengganu (Ahad).

Sehingga semalam, sebanyak 143,516 permohonan menerusi aplikasi Gerak Malaysia diluluskan oleh PDRM bagi mereka yang ingin melakukan perjalanan rentas negeri.

Huzir berkata, bagi memastikan pergerakan rentas negeri berjalan lancar dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP), sebanyak 98 sekatan jalan raya diwujudkan seluruh negara dan ditambah jika perlu. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close