Berita Utama

FELDA salur bantuan asas kepada peneroka

PMKR agih pek barangan pada lebih 28,000 peneroka

KUALA LUMPUR, 14 Ramadan 1441H, Khamis – Seramai 112,638 peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerima bantuan asas makanan menerusi peruntukan berjumlah RM5.6 juta.

Pengarah Besar FELDA, Datuk Dr Othman Omar dalam kenyataan hari ini berkata, bantuan berupa pek bernilai RM50 yang mengandungi makanan keperluan asas seperti beras, gula pasir dan minyak masak itu dilaksanakan bermula semalam hingga 13 Mei ini melalui kedai D’Mart di kawasan rancangan FELDA.

Selain itu, katanya, sebanyak RM1.1 juta lagi disumbangkan kepada Pusat Makanan Komuniti Rancangan (PMKR) untuk digunakan bagi membeli dan mengagihkan pek barangan makanan kepada lebih 28,000 peneroka dan generasi baharu yang layak.

PMKR ditubuhkan pada awal pelaksanaan PKP oleh Jawatankuasa Perundingan Peneroka untuk membantu peneroka yang terjejas dengan penguatkuasaan arahan itu.

“Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sudah mula dilaksanakan dan orang ramai sudah boleh pergi bekerja, namun ramai yang masih terjejas dari segi kewangan.

“FELDA sentiasa prihatin dan akan terus berusaha membantu meringankan beban warga peneroka yang terkesan dengan memastikan bantuan bekalan asas tidak terputus dan dikendalikan dengan sebaik mungkin,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button