Berita Utama

Jalan ke Pasar Awam Air Itam dibuka hari ini

Boleh operasi 50 peratus melalui kaedah penggiliran

GEORGE TOWN, 14 Ramadan 1441H, Khamis – Jalan ke Pasar Awam Air Itam dibuka hari ini bermula dari pukul 12 tengah hari sehingga 6.00 pagi.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk Yew Tung Seang berkata, susulan pembukaan jalan di pasar berkenaan, 140 gerai yang terdapat di sepanjang pasar itu kini dibenarkan beroperasi secara bergilir.

“Gerai-gerai yang dibenarkan beroperasi akan dibuka secara bergilir setiap hari, iaitu 50 peratus. Contohnya 70 gerai A dibuka pada hari ini manakala 70 gerai B akan dibuka esok,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Yew berkata, gerai di tepi jalan di Pasar Awam Jelutong, Jalan Perak dan Pulau Tikus turut dibenarkan beroperasi secara 50 peratus melalui kaedah penggiliran esok.

“Untuk pengetahuan, jalan di Pasar Awam Air Itam akan ditutup dari pukul 6.00 pagi hingga 12 tengah hari. Bagi peniaga yang dibenarkan beroperasi mereka tertakluk kepada pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti yang ditetapkan (oleh Kementerian Kesihatan Malaysia),” katanya.

Semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang memohon pihak polis untuk mempertimbang waktu kawalan di jalan masuk ke Pasar Awam Air Itam di sini, daripada 24 jam ketika ini kepada tujuh jam bermula pukul 6.00 pagi hingga 1 tengah hari.

Beliau berkata, kelonggaran itu adalah sejajar dengan langkah kerajaan yang telah menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan memberi kebenaran kepada sebahagian besar sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan untuk beroperasi tertakluk kepada SOP yang ketat.

Ng berkata, perkara itu juga bagi mengambil kira nasib 140 penjaja di pasar awam itu yang kehilangan mata pencarian sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close