Berita Utama

Krisis Johor: Negara nak pemimpin wibawa, bukan sibuk rebut jawatan

Sudah tiba masa rakyat tolak pemimpin bersandiwara pelbagai janji

BANGI, 14 Ramadan 1441H, Khamis – Perebutan kuasa dan jawatan yang berlaku dalam situasi politik negara ketika ini bukan kerana hendak menjalankan amanah kepimpinan, tetapi lebih kepada mengaut kesenangan dan kemewahan.

Kesal dengan sikap segelintir ahli politik, Yang Dipertua Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Pasir Puteh, Ustaz Sharipudin Ab Kadir berkata, mereka memperlakukan harta negara seolah-olah harta pusaka yang boleh dibahagikan di kalangan mereka sahaja. 

“Mereka berebut jawatan penting kerana jawatan adalah peluang untuk mengumpulkan harta. 

“Beginilah senario sebahagian ahli politik negara kita sekarang ini, yang digelarkan sebagai barisan pemimpin negara. 

“Walhal, rakyat bergelumang dengan keperitan mencari sesuap rezeki untuk hidup setelah dilanda serangan COVID-19, tetapi kumpulan ini berputar-putar mencari jawatan dan pangkat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, wujud spekulasi pergolakan antara UMNO dan BERSATU di Johor, kononnya didakwa berpunca daripada pelantikan jawatan penting dalam agensi kerajaan negeri itu yang ditadbir UMNO.

Pada 27 April, Setiausaha Bersatu Johor, Mohd Solihan Badri dalam satu kenyataan mendakwa gabungan itu di Johor dilihat rapuh dan meminta meminta parti lain yang membentuk kerajaan PN agar tidak memandang enteng keberadaan mereka dalam gabungan berkenaan.

Solihan mendakwa 11 wakil rakyat parti itu serta seorang wakil bebas dalam DUN mempunyai peranan penting untuk menentukan gabungan Perikatan Nasional terus utuh sehingga pilihan raya umum akan datang.

Susulan itu, Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed mengingatkan BERSATU di negeri itu tidak ‘cakap banyak’ malah berpendapat lebih baik Sultan Johor membubarkan DUN kerana parti itu tidak ada majoriti dalam DUN.

Sebagai peringatan, Ustaz Sharipuddin memetik kisah Khalifah Umar Abd Aziz – di mana beliau menyerahkan semua harta milik khalifah Umawi sebelumnya yang merupakan nenek moyangnya, kepada Baitul-Mal negara kerana mencari keredaan Allah dalam menguruskan negara. 

“Sarjana Barat menyifatkan Khalifah Umar Abd Aziz sebagai seorang raja miskin di sebuah negara yang kaya. Perumpamaan ini sudah cukup untuk kita mengenali ciri-ciri pemimpin agung dalam sejarah Islam. 

“Pemimpin yang mengharapkan keredaan dan keampunan Allah. Mungkin agak sukar untuk kita mencontohi sepenuhnya, tapi sekurang-kurangnya jangan kita jadikan jawatan yang  disandang sebagai peluang untuk kaya sehingga boleh digelar jutawan terkemuka,” katanya.

Ustaz Sharipudin yang juga Ketua Perhubungan Isma Kelantan berkata, negara ini amat memerlukan pemimpin yang berwibawa. 

“Pemimpin yang mengurus negara bukan sahaja untuk kehidupan dunia semata-mata tetapi membimbing rakyat ke hari akhirat jua. 

“Sudah tiba masanya untuk rakyat menolak pemimpin yang bersandiwara dengan pelbagai janji dan kata tetapi perjuangan sebenar adalah untuk kepentingan peribadi semata-mata,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button