Berita Utama

Lapan maut gas toksik bocor di Selatan India

Pindahkan penduduk berada kira-kira 3 KM dari lokasi kejadian

NEW DELHI, 14 Ramadan 1441H, Khamis – Sekurang-kurangnya lapan orang maut manakala ratusan lagi dimasukkan ke hospital dalam kejadian kebocoran gas toksik di sebuah kilang kimia, di selatan India pada Khamis, menurut pegawai, lapor agensi berita Anadolu.

Kejadian berlaku di kilang pembuatan milik LG Polymers di pelabuhan Vizag dekat bandar Visakhapatnam, Andhra Pradesh kira-kira 3 pagi waktu tempatan (2130GMT).

Kilang itu sedang dalam proses untuk kembali beroperasi selepas ditutup selama 40 hari akibat penularan wabak COVID-19.

Menurut penolong pesuruhjaya polis, Zon Barat Visakhapatnam antara yang maut dua warga emas dan seorang kanak-kanak berusia lapan tahun. Ratusan yang lain ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Berikutan kejadian itu, Perdana Menteri Narendra Modi memanggil mesyuarat tergempar diadakan dengan Lembaga Pengurusan Bencana Negara (NDMA).

Sementara itu, seorang penyelaras hospital daerah B K Naik memberitahu media tempatan, sekurang-kurangnya 1,000 orang dikejarkan ke beberapa hospital.

Pihak berkuasa turut memindahkan penduduk yang berada kira-kira tiga kilometer dari lokasi kejadian. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button