Berita Utama

Mencegah lebih baik daripada merawat

Ini tanggungjawab bersama, bukan hanya KKM atau kerajaan

PUTRAJAYA, 14 Ramadan 1441H, Khamis – Kementerian Kesihatan (KKM) memberi penekanan kepada aspek pencegahan dalam membendung penularan wabak COVID-19 di negara ini, namun dalam masa yang sama telah bersedia sebaik mungkin dalam menghadapi sebarang kemungkinan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, walaupun pihaknya mempunyai kemampuan dari segi kemudahan dan fasiliti di hospital seperti wad, peralatan serta tenaga kerja, tindakan pencegahan dengan pemantauan adalah lebih baik daripada memberi rawatan.

“Walaupun kemudahan rawatan itu kita sudah siap sedia, tapi tindakan kita sekarang ialah pencegahan, kalau boleh kita elakkan daripada jangkitan itu adalah terbaik daripada mendapat rawatan.

“Kita hendak pertingkatkan lagi kesihatan awam. Ia adalah tanggungjawab bersama iaitu tanggungjawab sosial, bukan hanya KKM atau kerajaan tetapi tanggungjawab rakyat Malaysia,” katanya pada sidang media harian COVID-19 di KKM hari ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham memaklumkan bilangan katil di 40 buah hospital COVID-19 di seluruh negara ialah 5,500 dan bilangan yang digunakan setakat ini hanyalah 864 atau 16 peratus.

Manakala 26 pusat kuarantin dan rawatan COVID-19 yang berisiko rendah pula, bilangan katil yang disediakan ialah 3,875, namun bilangan yang digunakan hanyalah 557 atau 14 peratus sahaja.

Beliau berkata, bagi katil Penjagaan Kritikal yang khusus bagi pesakit dalam siasatan (PUI) dan pesakit COVID-19, bilangan katil yang disediakan ialah 438 dengan penggunaan bagi pesakit itu hanyalah 19.

Sementara itu, bagi alat bantuan pernafasan pula terdapat 1,091 unit dan penggunaan kepada PUI dan pesakit COVID-19 hanyalah lapan sahaja, katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button