Berita Utama

PAS sedia terajui Kedah

PH Kedah sudah tempang, hilang majoriti tadbir kerajaan negeri

BANGI, 14 Ramadan 1441H, Khamis – PAS Kedah menyatakan kesediaan untuk mengambil alih pentadbiran berikutan kepincangan dan perpecahan yang semakin tidak terkawal dalam Pakatan Harapan (PH) negeri itu.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Ahmad Yahaya berkata, kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sidam, Dr Robert Ling Kui Ee secara terbuka pada 4 Mei lalu menerusi Facebook mempertikai keputusan pemecatan timbalannya di Cabang PKR Sungai Petani, menunjukkan beliau tidak lagi sehaluan dengan pucuk pimpinan PH.

Katanya, beberapa lagi ADUN PKR lain dijangka mengikut langkah Robert sekali gus menyaksikan pengurangan jumlah kerusi dikuasai PH di Kedah.

“Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sekarang bukan lagi pengerusi PH Kedah. Beliau hanya mampu melihat tanpa berhak mencatur pergerakan ADUN PH daripada PKR kerana dari sudut gabungan, PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tidak lagi sehaluan.

“Mukhriz juga dalam keadaan amat lemah kerana daripada enam ADUN BERSATU Kedah, tidak sampai separuh yang berpihak kepadanya memandangkan banyak kelemahan yang gagal diperbaiki Mukhriz,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada dasarnya, Ahmad berkata, PH Kedah sudah tempang dan kehilangan majoriti untuk menerajui kerajaan negeri ini dan perubahan kerajaan negeri sudah tidak dapat dielakkan lagi.

“Justeru, PAS Kedah yang memiliki 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah iaitu jumlah paling tinggi dalam kalangan parti yang ada bersedia menerajui pentadbiran kerajaan negeri ini.

“Atas semangat Muafakat Nasional PAS-UMNO, kami memiliki lagi dua kerusi milik UMNO menjadikan semuanya 17 kerusi DUN,” katanya.

Katanya lagi, keyakinan ini turut mengambil kira kredibiliti calon Menteri Besar dalam kalangan ADUN PAS yang mempunyai pengalaman dan rekod yang bersih sepanjang bersama dalam kerajaan negeri ketika era PAS mentadbir Kedah pada 2008 hingga 2013.

“Kecelaruan iklim politik yang dipamerkan PH ini telah memberikan kesan negatif terhadap penumpuan usaha memajukan negeri dan rakyat menerima tempias buruk akibat perbalahan pemimpin PH,” kata beliau.

Kedah mempunyai 36 kerusi DUN yang mana PAS mempunyai kerusi terbanyak iaitu 15 diikuti PKR (7), BERSATU (6), UMNO (2) PAN (4), DAP (2).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button