Berita Utama

Pembakaran Terbuka: JAS Perak arah kosongkan premis

Akan terus buat rondaan harian ke kawasan berisiko tinggi

IPOH, 14 Ramadan 1441H, Khamis – Pemilik premis tapak kitar semula tanpa lesen di kawasan setinggan Jalan Lawan Kuda, Taiping diarah mengosongkan kawasan sekitar premis berkenaan yang menempatkan bahan buangan dan barang lusuh kerana disyaki melakukan pembakaran terbuka.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Perak Rosli Zul berkata, jabatan itu dan pihak berkuasa tempatan (PBT) telah memberi masa sehingga Selasa depan kepada pemilik premis sebelum tindakan tegas diambil.

“Pihak JAS cawangan Taiping telah menerima aduan berulang bahawa premis itu melakukan pembakaran terbuka.

“Kita akan melakukan tinjauan sekali lagi pada Jumaat ini bagi memastikan pemilik premis itu telah mula membersihkan kawasan tersebut,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata, pada Selasa lepas, JAS cawangan Taiping mengadakan Ops Bersepadu bersama Polis Diraja Malaysia dan PBT bagi menyelesaikan isu pembakaran terbuka di kawasan Lawan Kuda yang terletak berhampiran kawasan perumahan.

Rosli berkata, bagaimanapun ketika serbuan dijalankan pihaknya hanya menemukan kesan pembakaran terbuka di tapak kitar semula tanpa lesen itu berikutan hujan lebat pada malam sebelumnya.

“Oleh itu, pihak JAS tidak dapat mengenakan sebarang tindakan perundangan kerana ketika serbuan tiada kebakaran atau lebih tepat tiada sebarang baraan atau nyalaan atau asap ditemukan,” katanya.

Sementara itu, JAS dalam kenyataan berkata, ia akan terus membuat rondaan harian ke kawasan yang berisiko tinggi.

Mereka yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 29(A) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 atau kompaun tidak lebih RM2,000 bagi setiap pembakaran terbuka dilakukan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close