Berita Utama

Rentas Negeri: PDRM tempatkan 7 pos kawalan

Pastikan pengguna lebuh raya patuhi peraturan ditetapkan

SUBANG JAYA, 14 Ramadan 1441H, Khamis – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menempatkan tujuh pos kawalan di beberapa lebuh raya utama, bagi membuat pemeriksaan secara rawak terhadap kenderaan yang melakukan pergerakan rentas negeri, selama empat hari bermula hari ini.

Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasaan) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Supt Bakri Zainal Abidin berkata, pemeriksaan itu bagi memastikan pengguna lebuh raya mematuhi peraturan yang telah ditetapkan kerajaan.

“Tujuh pos kawalan terpilih ini membabitkan dua di zon utara, satu di zon selatan, dua di zon timur serta dua di zon tengah. Orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi jadual pergerakan ditetapkan, bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas,” katanya ketika ditemui di pangkalan Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM Subang di sini, hari ini.

Terdahulu, Bakri membuat tinjauan melalui udara menggunakan helikopter di sekitar plaza tol serta lebuh raya utama ibu negara.

Ketika diminta mengulas situasi trafik semasa hari ini, beliau berkata, berdasarkan data yang diperolehi menerusi aplikasi Gerak Malaysia, dianggarkan 13,000 kenderaan akan melakukan pergerakan rentas negeri hari ini.

“Pemantauan dilakukan hari ini mendapati, jumlah kenderaan di lebuh raya utama menghala ke tiga-tiga arah iaitu Timur, Selatan dan Utara adalah berkurangan berbanding jumlah jangkaan. Kami akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa, bagi memastikan aliran trafik sentiasa lancar,” katanya.

Bakri menambah, tinjauan udara itu turut mendapati orang ramai mematuhi arahan ketika berada di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) seperti yang telah ditetapkan, sebelum ini.

“Hanya beberapa kenderaan dilihat berhenti di kawasan R&R dan mereka mematuhi segala arahan yang dikenakan,” katanya.

Sehingga semalam, sebanyak 143,516 permohonan menerusi aplikasi Gerak Malaysia telah diluluskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mereka yang ingin melakukan rentas negeri, untuk pulang ke kediaman masing-masing selepas terkandas di lokasi, semasa berikutan penguatkuasaan PKP.

PDRM sebelum ini mengeluarkan jadual pergerakan rentas negeri selama empat hari bermula hari ini dengan Kuala Lumpur.

Ia akan diikuti dengan pergerakan pulang dari Perak, Johor dan Kelantan esok, manakala Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka dan Pahang (Sabtu) dan Selangor, Negeri Sembilan, dan Terengganu (Ahad) – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close