Tiada program Nuzul al-Quran di Negeri Sembilan
Hayati ceramah dalam talian anjuran Jabatan Agama Islam, NGO

SEREMBAN, 14 Ramadan 1441H, Khamis – Tiada sebarang program sambutan yang dirancang di peringkat negeri sempena Nuzul al-Quran, Ahad ini.
Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad, ketika dihubungi Bernama, berkata, ia bagi mematuhi penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKBP) yang dilaksanakan kerajaan bagi membendung penularan wabak COVID-19.
Bagaimanapun, beliau berkata, umat Islam masih boleh menghayati peristiwa Nuzul al-Quran melalui ceramah dalam talian yang dianjurkan Jabatan Agama Islam dan badan bukan kerajaan (NGO).
Nuzul al-Quran merujuk kepada peristiwa turunnya ayat al-Quran pertama kepada Nabi Muhammad SAW pada malam Jumaat, 17 Ramadan, di Gua Hira, Makkah iaitu tahun ke-41 daripada keputeraan baginda.
Pada 1 Mei lepas, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan PKPB dengan sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial dibenarkan beroperasi mulai Isnin lepas, tertakluk kepada syarat-syarat dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Semasa pelaksanaan PKPB, perarakan keagaamaan dan aktiviti agama berjemaah di masjid atau rumah ibadat adalah tidak dibenarkan. – Bernama