Berita Utama

Undi tak percaya: Ahli politik rakus fikir kuasa walau krisis COVID-19

Dr Mahathir tak mengaku kalah, yang jadi mangsa rakyat

BANGI, 14 Ramadan 1441H, Khamis – Tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad mahu mengemukakan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menunjukkan kemelut politik negara belum sampai penghujungnya.

Presiden gerakan Islam Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, belum sempat rakyat menikmati kehidupan selepas wabak COVID-19, mereka terpaksa sekali lagi berhadapan dengan kemelut politik.

“Di sini kita dapat lihat dengan jelas, betapa Tun M bukan seorang yang mudah mengaku kalah. Cuma yang menjadi mangsa ialah rakyat semua.

“Sudahlah sekarang ini ratusan rakyat telah meninggal dunia, ribuan yang hilang pekerjaan, keadaan ekonomi yang semakin meruncing tetapi ahli politik tetap sibuk memikirkan kuasa masing-masing sahaja.

“Kalaulah ini tidak dikatakan sebagai gila kuasa, tak tahulah apa yang saya nak dikatakan lagi. Ini sesuatu yang sangat tidak boleh diterima oleh akal,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Dr Mahathir dilaporkan memohon speaker Dewan Rakyat mengizinkan beliau membawa usul dan mengemukakan resolusi terhadap Muhyiddin.

Memetik laporan FMT, dalam surat yang ditujukan kepada Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof pada 4 Mei, Dr Mahathir mahu mencadangkan usul mengemukakan resolusi untuk membuat ketetapan bahawa Muhyiddin, yang juga ahli Parlimen Pagoh, tidak mempunyai keyakinan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Dalam perkembangan sama, Haji Aminuddin berkata, tindakan bekas perdana menteri itu secara tidak langsung cuba dijadikan satu tamparan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Jelasnya, ini kerana jika benar Muhyiddin tidak mendapat sokongan majoriti, bermakna asas keputusan Agong akan dipersoalkan oleh rakyat.

Bahkan Haji Aminuddin yakin tidak mustahil negara ini akan mendapat perdana menteri yang baharu tidak lama lagi dengan perangai ahli-ahli Parlimen yang suka melompat parti.

“Jika tawaran yang diberikan ialah jutaan ringgit atau jawatan-jawatan yang meliurkan, saya tidak menolak kemungkinan bahawa akan ada yang sanggup lompat tanpa rasa segan silu.

“Inilah dunia politik di negara kita. Kepada anda semua, rakyat Malaysia, saya nasihatkan untuk memastikan kita memilih dengan penuh kematangan dalam PRU15 nanti. Jangan mengundi dengan terlalu ikut perasaan dan emosi kerana telah terbukti natijahnya sangat menyeksakan.

“Pastikan kita menolak calon-calon yang gila kuasa, korup dan rosak akhlak, serta penghina agama dan bangsa,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close