Berita Utama

WHO beri amaran, hati-hati longgar sekatan

Kira-kira 80,000 kes baharu dicatatkan setiap hari

GENEVA, 14 Ramadan 1441H, Khamis – Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus pada Rabu memberi amaran langkah untuk melonggarkan sekatan pergerakan perlu dilakukan dengan sangat berhati-hati, lapor agensi berita Xinhua.

Beliau berkata, demikian berikutan semakin banyak negara kini mempertimbangkan untuk melonggarkan sekatan pergerakan.

“Risiko untuk kembali semula kepada sekatan pergerakan sangat tinggi jika negara tidak menguruskan fasa peralihan dengan berhati-hati dan secara bertahap,” katanya pada sidang media dalam talian di Geneva.

Pada sidang media itu beliau sekali lagi mengulangi enam kriteria yang disyorkan WHO untuk dipertimbangkan negara yang berniat melonggarkan sekatan pergerakan.

Ia termasuk penularan sudah dapat dikawal; perkhidmatan perubatan dan kesihatan awal yang secukupnya; risiko penularan di kemudahan khas seperti lokasi penjagaan jangka panjang diminimumkan; langkah pencegahan diambil di tempat kerja, sekolah dan tempat tumpuan orang ramai; risiko kes import dapat dikawal; dan komuniti sudah sedar dan faham mengenai kepentingan menjaga kesihatan dan penjarakan sosial dalam tempoh peralihan ini.

Lebih 3.5 juta kes COVID-19 dan hampir 250,000 kematian kini dilaporkan kepada WHO, dan sejak awal April, kira-kira 80,000 kes baharu dicatatkan setiap hari.

“Ia bukan sekadar angka – setiap kes melibatkan ibu, ayah, anak lelaki, anak perempuan, saudara lelaki, saudara perempuan atau rakan,” kata Tedros. – Bernama

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close