Berita Utama

21 PATI ditahan naiki bot cuba lolos ke Indonesia

Mereka dipercayai menggunakan laluan tikus untuk larikan diri

MELAKA, 15 Ramadan 1441H, Jumaat – Polis Melaka menahan 21 pendatang tanpa izin yang dipercayai ingin meloloskan diri melalui laluan tikus untuk kembali ke Indonesia, dengan menaiki bot fiber di Perairan Tanjung Dahan di Kuala Sungai Baru di sini, dua hari lepas.

Ketua Polis Melaka Datuk Mat Kasim Karim berkata, semua suspek yang terdiri daripada dua tekong dan 19 pekerja asing warga Indonesia berusia antara 20-an hingga 40-an itu, ditahan dalam operasi bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kira-kira 3 petang.

Katanya, siasatan awal mendapati kesemua pendatang tanpa izin berkenaan, merupakan pekerja buruh dalam pelbagai bidang di kawasan Lembah Klang.

“Semua pendatang tanpa izin tersebut ingin pulang ke Indonesia dan mereka dipercayai menggunakan laluan tikus untuk menaiki bot, memandangkan terdapat banyak sekatan jalan raya (SJR) di sekitar negeri ini, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Bot yang dinaiki mereka dipintas di perairan Tanjung Dahan oleh APMM dan siasatan lanjut masih dijalankan, termasuk dari mana mereka menaiki bot dan laluan tikus mana yang digunakan,” katanya kepada pemberita selepas Program Wakaf Quran Mu’Jam, oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas di sini, hari ini.

Terdahulu, 1,000 naskah al-Quran diserahkan kepada Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Melaka, untuk diagihkan kepada anggota dan balu anggota polis di seluruh negeri itu.

Mat Kasim berkata, pihaknya bersama agensi penguatkuasaan lain akan terus memperketatkan keselamatan pintu masuk dan keluar di negeri itu, di samping meminta orang ramai untuk menyalurkan maklumat mengenai kegiatan tersebut di kawasan mereka. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close