Berita Utama

‘Biar rakyat isi kekosongan pekerjaan, bukan PATI’

Sambut baik usaha kerajaan jaga kebajikan gelandangan

BANGI, 15 Ramadan 1441H, Jumaat – Naib Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin menyambut baik usaha kerajaan menjaga kebajikan gelandangan bagi memastikan golongan itu tidak kembali merempat selepas tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sebelum ini, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, gelandangan di sekitar ibu negara akan diberi latihan dan kursus suai kenal pendek bagi membolehkan mereka mendapat pekerjaan bermula 1 Mei depan.

Katanya, perkara itu telah dibincangkan dalam Pusat Pengurusan Krisis (CMC) dan beberapa syarikat sedia menawarkan peluang pekerjaan kepada mereka.

Menurutnya, 800 gelandangan yang kini diselamatkan dan ditempatkan di penempatan sementara serta Anjung Singgah akan melalui proses saringan dan latihan jangka masa pendek.

“Telah ada beberapa syarikat sedia ambil mereka yang sesuai, sihat tubuh badan dan produktif. Ada 500 hingga 700 peluang pekerjaan termasuk operator pengeluaran di sekitar Lembah Klang.

“Tapisan akan dibuat mengikut kesesuaian sama ada bekerja sebagai operator dengan gaji RM1,400 beserta elaun atau pekerja am dengan gaji harian dianggarkan RM1,200 hingga RM1,400 di bawah kendalian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),” katanya.

Susulan usaha itu, Dr Zainur Rashid menyarankan kerajaan menghantar pulang pendatang tanpa permit dan ratusan ribu pelancong China yang tidak kembali ke negara asal.

“Biar rakyat tempatan terutamanya para gelandangan yang menganggur dan yang hilang pekerjaan akibat COVID-19 mengisi sebanyak mungkin kekosongan peluang pekerjaan,” katanya.

Terdahulu, gelandangan di ibu negara diselamatkan dan ditempatkan di pusat gelandangan termasuk empat penempatan sementara sepanjang PKP sebagai langkah membendung penularan COVID-19.

Selain diberikan tempat tinggal, semua gelandangan itu diberikan makan dan minum serta kemudahan asas termasuk khemah (kubik) bagi setiap seorang bertujuan penjarakan sosial dan privasi.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close