Berita UtamaDunia

COVID-19: 190,000 berdepan ancaman maut di Afrika

Benua berkenaan terdedah wabak kerana infrastruktur kesihatan lemah

JOHANNESBURG, 15 Ramadan 1441H, Jumaat – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran 190,000 orang berdepan ancaman maut di benua Afrika, akibat coronavirus pada tahun pertama wabak itu melanda sekiranya langkah pencegahan gagal.

Agensi Kesihatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) itu memetik kajian baharu oleh pejabat wilayahnya di Brazzaville yang mendapati, antara 83,000 hingga 190,000 boleh meninggal dunia dengan 29 ke 44 juta mungkin dijangkiti dalam tempoh tersebut.

Penyelidikan itu berdasarkan model ramalan yang merangkumi 47 negara dengan jumlah penduduk satu bilion, kata WHO dalam satu kenyataan.

Pakar secara konsisten mengingatkan bahawa, benua Afrika sangat terdedah dengan wabak memandangkan infrastruktur kesihatan lemah, kadar kemiskinan yang tinggi, banyak konflik dan kerentanan yang terbukti terhadap wabak sebelumnya.

Bagaimanapun, virus itu dilihat lambat tersebar ke seluruh benua, yang mana belum mencatat jumlah jangkitan atau kematian yang tinggi berbanding Eropah, Amerika Syarikat dan tempat lain.

Menurut penghitungan AFP, Afrika setakat ini merekodkan 53,334 kes dan 2,065 kematian.

Beberapa negara telah menetapkan langkah-langkah pengurungan atau perintah berkurung, tetapi yang lain tidak dan ada yang mempertimbangkan untuk menarik sekatan.

Nigeria menarik perintah berkurung di bandar Lagos yang paling ramai penduduk di Afrika awal minggu ini, sementara Afrika Selatan mulai mengurangkan langkahnya minggu lalu. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button