Berita Utama

Vernakular masih wujud, angkuh lagikah Melayu?

SJKC, SJKT dapat peruntukan, orang Melayu tak pernah pun pertikai

BANGI, 16 Ramadan 1444H, Jumaat – Kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya orang Melayu Islam negara ini tidak terlalu selesa dan angkuh sehingga menganggap kelompok lain tidak boleh diraikan agak keterlaluan. 

Presiden BERJASA, Ustaz Zamani Ibrahim berkata, sistem pendidikan negara menjadi bukti kenyataan Perdana Menteri tidak benar dan hanya persepsi semata-mata. 

Ini kerana, sekolah vernakular masih dibenarkan wujud sehingga kini, meskipun semua bangsa boleh berada di bawah satu aliran di sekolah kebangsaan.

Bahkan, sehingga ke hari ini juga kerajaan masih memberikan peruntukan kepada sekolah vernakular dan perkara itu tidak pernah dipertikaikan oleh orang Melayu.

“Jadi siapa yang angkuh? Melayu tidak angkuh. Jadi, persoalan angkuh itu saya tidak setuju. 

“Sistem pendidikan kita telah menyediakan sistem pendidikan kebangsaan yang menerima semua kaum duduk di sistem yang sama, tapi apa berlaku hari ini, ada sekolah vernakular, ada SJKC, SJKT lagi hari ini,” katanya.

Bukan sekadar sistem pendidikan, Zamani berkata, orang Melayu juga tidak pernah mempertikaikan isu tanah pajakan 99 tahun yang diberikan British kepada pendatang Cina dan India suatu ketika dahulu.

“Bukan sedikit, sejuta (pendatang) semua dapat tanah dan tanah itu akan berakhir pada 2035 nanti kerana itu tanah pajakan 99 tahun.

“Kita tak pernah pertikaikan dan persoalkan. Melayu tetap menerimanya, maka di mana keangkuhan yang dikatakan oleh Perdana Menteri?,” katanya.

Menurut Timbalan Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) itu, Anwar juga perlu sedar bahawa bukan Melayu lebih memonopoli senarai individu terkaya di Malaysia berbanding orang Melayu.

“Hanya Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary yang ada dalam senarai itu, tetapi sewaktu Anwar mula menjadi PM, nama yang dahulu dipetiknya adalah Syed Mokhtar.

“Maka, beliau (Syed Mokhtar) membantu kerajaan, bukan sedikit tetapi jutaan ringgit supaya dapat menunjukkan kebaikan pertolongan kerajaan kepada petani-petani,” katanya.

Bagaimanapun, sembilan lagi individu terkaya lain tidak pernah pula nama mereka disebut untuk berkongsi kekayaan dengan rakyat dan membantu kerajaan.

“Tak ada pun, Syed Mokhtar orang Melayu, tolong kerajaan bantu rakyat. Jadi, adakah ini dikatakan Melayu angkuh lagi? 

“Saya bimbang adakah ini menggambarkan satu kemarahan PM kerana daripada PRU15 baru ini, orang Melayu tidak mengundi PKR, Amanah apa lagi DAP.

“Adakah itu seolah-olah menggambarkan ketidakpuasan hati kepada orang Melayu sehingga beliau menyatakan demikian,” katanya.

Berita berkaitan;

Hentikan ucapan provokasi, PM perlu fokus agenda perkasa hak Melayu

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button