Berita Utama

KKM beri pandangan, nasihat perkembangan COVID-19

Turut sentuh solat tarawih, Aidilfitri dalam tempoh PKPB

PUTRAJAYA, 15 Ramadan 1441H, Jumaat – Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) yang berlangsung pagi tadi membincangkan pelbagai perkara termasuk mengenai solat tarawih dan Aidilfitri dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Kementerian kesihatan (KKM) sudah memberikan pandangan serta nasihat sewajarnya berhubung perkara berkenaan.

“Saya sudah membentangkan perkembangan COVID-19 dari mula hingga kini dan jangkaan kita (mengenai situasi penularan) dalam tempoh dua hingga empat minggu.

“Selain solat Jumaat, ada banyak yang dibincangkan, saya jawab semua soalan yang dibangkitkan dengan sebaik mungkin termasuk kemusykilan yang ditimbulkan,” katanya seperti dipetik Berita Harian.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada solat Tarawih dan Aidilfitri turut dibincangkan dalam mesyuarat terbabit selain solat Jumaat dan apakah nasihat KKM berhubung perkara terbabit.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, beliau sudah memberikan penerangan sebaik mungkin kepada jawatankuasa terbabit supaya sebarang keraguan dan maklumat terkini dapat dikongsikan bersama.

“Kita berharap kebijaksanaan jawatankuasa muzakarah terbabit untuk memberikan pandangan dan sebarang keputusan daripada muzakarah terbabit akan dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close