Berita Utama

KKM bimbang kebolehjangkitan tinggi sekiranya taska dibuka

Kumpulkan kanak-kanak pada satu tempat jadi kebimbangan

PUTRAJAYA, 15 Ramadan 1441H, Jumaat – [Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melahirkan kebimbangan wujud kebolehjangkitan Covid-19 yang tinggi sekiranya pusat asuhan kanak-kanak ataupun taska dibuka seperti kebiasaannya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya banyak menerima permohonan daripada industri untuk membuka kembali taska.

“Kalau kita kumpulkan kanak-kanak pada satu tempat, itu menjadi satu kebimbangan KKM kerana kbolehjangkitan akan meningkat,” katanya pada sidang media perkembangan terkini COVID-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Menurut Dr Noor Hisham, kesemua permohonan yang dibuat sedang diteliti KKM.

“Kalau kita lihat di taska sebelum COVID-19 melanda, penyakit tangan kaki dan mulut (HFMD) dalam kalangan kanak-kanak sangat mudah berlaku di taska,” katanya.

Jelasnya, KKM kini sedang mempertimbangkan kaedah dan inovasi baharu dalam penjagaan kanak-kanak bagi menjamin keselamatan golongan itu.

“Kita masih lagi belum memberi keputusan melainkan kita boleh memperlihatkan pengurusan kanak-kanak tersebut ‘one to one’ ataupun tempat yang khas baharulah kita pertimbangkan,” katanya.

Dalam garis panduan yang diterbitkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 2 Mei lalu, taska di bawah kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat dibenar beroperasi dengan protokol yang ketat.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close