Berita Utama

Kluster Pedas jangkiti 60 individu

Sehingga jam 12 tengah hari, seramai 786 individu disaring

PUTRAJAYA, 15 Ramadan 1441H, Jumaat – Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster Pedas yang dimaklumkannya pada 2 Mei lalu membabitkan pekerja kilang di Pedas, Negeri Sembilan, sudah menjangkiti 60 individu.

Menurutnya, kluster itu mula dikesan apabila seorang kakitangan kilang itu didapati tidak sihat dan mula mengalami gejala demam, batuk, selesema, sesak nafas dan sakit kepala pada 5 April lalu.

“Beliau mendapatkan rawatan di klinik kesihatan dan ujian COVID-19 dijalankan pada 10 April. Pada 12 April, keputusan ujian pengesanan COVID-19 disahkan positif.

“Susulan itu, siasatan dan saringan bagi kontak rapat kakitangan terbabit dijalankan. Sehingga hari ini sehingga jam 12 tengah hari, seramai 786 individu disaring.

“Mereka terdiri daripada pekerja kilang dan ahli keluarga masing-masing. Daripada jumlah keseluruhan ini, 60 kes didapati positif, 286 kes negatif dan 440 orang masih menunggu keputusan. Kes-kes positif kluster ini membabitkan tujuh warganegara Malaysia dan 53 bukan warganegara,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Memperincikan kes jangkitan itu, Noor Hisham berkata, seramai 25 kes membabitkan warga Nepal, Bangladesh (18), Indonesia (8) dan Myanmar (2).

Katanya, punca jangkitan bagi kluster ini masih dalam siasatan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button