Berita UtamaPendapat

Perancangan rapi jatuhkan TSMY

Minta bersidang utamakan nasib sendiri ketika COVID-19

YANG mula-mula diheboh-hebohkan adalah usul biasa di bawah Peraturan Mesyuarat 27(3), dikemukakan oleh Datuk Seri Shafie Apdal yang mahu:

“Membuat ketetapan bahawa Ahli Yang Berhormat Langkawi mempunyai keyakinan majoriti Ahli-Ahli Yang Berhormat Dewan Rakyat.”

Usul biasa Datuk Seri Shafie Apdal ini semalam ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamed Ariff Yusof, atas alasan bahawa ia adalah tidak selari dengan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.

Kesannya ialah Tan Sri Mohamed Ariff Yusof pun dipuji oleh penyokong kerajaan kerana kononnya bersikap adil dan non-partisan, serta dikritik oleh penyokong pembangkang kerana kononnya telah “dibeli” oleh kerajaan.

Yang seterusnya diheboh-hebohkan adalah usul biasa di bawah Peraturan Mesyuarat 27(3), dikemukakan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu:

“Membuat ketetapan bahawa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin bin Yassin sebagai Ahli Yang Berhormat Pagoh tidak mempunyai keyakinan majoriti Ahli-Ahli Yang Berhormat Dewan Rakyat.”

Usul biasa Tun Dr Mahathir Mohamad ini hari ini diterima oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamed Ariff Yusof, tanpa diberi apa-apa alasan.

Kesannya ialah Tan Sri Mohamed Ariff Yusof pun dipuji oleh penyokong pembangkang kerana kononnya bersikap adil dan non-partisan serta dikritik oleh penyokong kerajaan kerana kononnya bersikap tidak adil dan partisan.

Kesannya juga ialah terdapat perbincangan yang hangat mengenai apa yang boleh berlaku dalam Dewan Rakyat bila usul biasa Tun Dr Mahathir Mohamad ini diterima dengan majoriti berpendapat tiada apa yang akan berlaku kerana sidang ini hanya akan membahaskan atau akan mendahulukan usul kerajaan.

Walhalnya, sasaran sebenar mereka adalah usul tergempar di bawah Peraturan Mesyuarat 18, yang dikemukakan oleh Datuk Liew Vui Keong, yakni mengandungi kedua-dua usul biasa Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Shafie Apdal, iaitu:

“Membuat ketetapan bahawa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin bin Yassin sebagai Ahli Yang Berhormat Pagoh tidak mempunyai keyakinan majoriti Ahli-Ahli Yang Berhormat Dewan Rakyat.”

“Membuat ketetapan bahawa Ahli Yang Berhormat Langkawi mempunyai keyakinan majoriti Ahli-Ahli Yang Berhormat Dewan Rakyat.”

(Dua lagi butiran usul tergempar Datuk Liew Vui Keong ialah membuat ketetapan bahawa “Majlis Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-14, yang dijadualkan selama satu (1) hari adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan” dan bahawa “Sidang Dewan Rakyat hendaklah dilanjutkan daripada satu (1) hari menjadi lapan (8) hari”.)

Menariknya, keputusan hari ini Tan Sri Mohamed Ariff Yusof mengenai usul tergempar Datuk Liew Vui Keong ini ialah:

(1) “Sebahagian diterima kerana ia perkara tertentu, untuk kepentingan orang ramai dan perlu disegerakan” (Tetapi tidak dinyakan butiran usul tergempar yang mana satu yang diterima).
(2) “Sebahagian ditolak kerana usul dikemukakan tidak perlu disegerakan” (Tetapi tidak dinyakan butiran usul tergempar yang mana satu yang ditolak).

Begitulah rapinya perancangan dan persekongkolan mereka untuk menjatuhkan Tan Sri Muhyiddin Yassin dari jawatan beliau sebagai Perdana Menteri, sehingga sanggup mengatur strategi khas demi mengaburkan mata orang ramai mengenai niat sebenar mereka.

Inilah perut pedal sebenar mereka, tatkala semua bertungkus-lumus menangani pandemik COVID-19 mereka meminta sidang khas Parlimen untuk kononnya membela nasib rakyat, walhal sebenarnya nasib mereka semata-mata yang jadi keutamaan mereka.

Tetapi tidak mengapa, orang Islam khususnya kenalah ingat selalu Firman Allah dalam Surah A-li’Imraan yang bermaksud: “Dan orang-orang (Yahudi yang kafir) itupun merancangkan tipu daya (hendak membunuh Nabi Isa), dan Allah pula membalas tipu daya (mereka); dan (ingatlah), Allah sebijak-bijak yang membalas (dan menggagalkan segala jenis) tipu daya.”

Dr Kamarul Yusoff

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button