Berita Utama

PH hilang sokongan majoriti jika usul undi tak percaya gagal

Dunia berperang COVID-19, ahli politik Malaysia pula sibuk catur kuasa

BANGI, 15 Ramadan 1441H, Jumaat – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal menghadapi ujian untuk mendapat keyakinan Ahli Parlimen negara ini, sekiranya usul undi tidak percaya dikemukakan Tun Dr Mahathir Mohamad berjaya sampai ke peringkat undian.

Pakar Perlembagaan yang juga Felo Penyelidik (Undang-Undang dan Perlembagaan), Pusat Polisi Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Muhammad Fathi Yusof bagaimanapun berkata, sekiranya usul berkenaan gagal ke peringkat undian, maka terbukti bahawa Muhyiddin sememangnya layak mendapat keyakinan majoriti anggota Dewan Rakyat.

“Ini sekali gus menunjukkan kerajaan PH (Pakatan Harapan) dahulu sememangnya telah hilang sokongan majoriti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Mohd Yusof memaklumkan menerima usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin.

Usul berkenaan dikemukakan oleh bekas Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Langkawi, Dr Mahathir pada 4 Mei lalu di bawah Peraturan Mesyuarat 26(1) dibaca bersama Peraturan Mesyuarat 27(3).

Mohamad Ariff menyatakan demikian bagi membalas notis terdahulu yang dikemukakan oleh Dr Mahathir, mengikut Perkara 27 Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

“Satu usul di bawah Peraturan Mesyuarat 27 (3) yang membangkitkan iaitu: Mengemukakan resolusi untuk membuat ketetapan bahawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Ahli Yang Berhormat Pagoh tidak mempunyai majoriti ahli-ahli yang berhormat Dewan Rakyat,” katanya

Mengulas mengenai perkara itu, Muhammad Fathi berkata, Muhyiddin disarankan untuk menasihati Yang Di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), sekiranya usul undi berkenaan tidak memihak kepadanya.

Pada masa sama, katanya, Muhyiddin turut mempunyai pilihan untuk meletakkan jawatan bagi memberi ruang kepada Yang Agong melantik Perdana Menteri baharu.

“Soalnya siapa PM baharu yang nak dicadangkan oleh PH? Tun Dr. M atau DS Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim)?

“Adakah sudah ada konsensus? Jika belum ada, episode percaturan politik yang berlaku beberapa bulan lepas akan kembali berulang.

“Negara dan dunia sedang berperang dengan COVID-19, orang politik Malaysia sibuk mencatur kuasa. Bersediakah Malaysia untuk PRU dalam masa terdekat ini?” soalnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button