Berita Utama

PKPB: Garis panduan solat Jumaat diserah pada Majlis Raja-Raja

Minta semua pihak patuhi peraturan penangguhan aktiviti keagamaan

PUTRAJAYA, 15 Ramadan 1441H, Jumaat – Resolusi garis panduan solat Jumaat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dipertimbangkan dan diputuskan pihak berkuasa negeri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali kelima yang diadakan hari telah membincangkan mengenai garis panduan itu.

Katanya, garis panduan berkenaan disediakan bagi penelitian para Ashabus Samahah Mufti-Mufti di seluruh Malaysia selaku pihak berkuasa agama negeri dan ahli-ahli dilantik MKI sebagai satu panduan bersama sebelum dipertimbangkan dan diputuskan oleh pihak berkuasa agama negeri.

“Sebagaimana amalan kebiasaan, resolusi muzakarah ini akan di bawa kepada Majlis Raja-Raja sebagai satu pandangan dan nasihat untuk dipertimbangkan dan diputuskan oleh pihak berkuasa agama negeri.

“Perlembagaan Persekutuan menetapkan urusan berkaitan hal ehwal Islam berada di bawah ruang lingkup kuasa dan bidang kuasa negeri di bawah naungan raja-raja bagi negeri-negeri. Hal ini jelas disebut di bawah Butiran 1 Senarai Negeri Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menerusi kenyataan sama, Dr Zulkifli menjunjung hikmah dan kebijaksanaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dalam mempertimbangkan dan memutuskan sebarang urusan berkaitan hal ehwal Islam di negeri-negeri.

“Dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong dalam mempertimbangkan dan memutuskan sebarang urusan berkaitan hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan dan negeri-negeri tidak beraja.

“Buat masa ini, saya menyeru seluruh umat Islam untuk mematuhi segala peraturan berkaitan penangguhan aktiviti keagamaan di masjid dan surau yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama negeri dan sentiasa memanjatkan doa agar wabak ini beransur hilang.

“Yakinlah bahawa akan tiba saatnya masjid dan surau kembali meriah dengan pelbagai aktiviti keagamaan dan diimarahkan dengan sebaiknya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close