Berita Utama

PN buat silap besar lantik Lian Ker tak mesra dasar Islam

Kita sudah terlebih adil beri hak kepada mereka yang tak berhak

BANGI, 15 Ramadan 1441H, Jumaat – Pelantikan Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker sebagai Timbalan Menteri Perpaduan menunjukkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) gagal meletakkan sesuatu yang betul ditempatnya.

Pendakwah bebas, Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah berkata, seharusnya jawatan yang disandang oleh MCA sedikit sahaja, ini memandangkan parti itu hanya memenangi dua kerusi Parlimen iaitu di Ayer Hitam dan Tanjung Piai.

“Saya hairan, individu yang membawa aspirasi menentang dasar-dasar negara ini, tidak mesra (dasar) Islam dan Perlembagaan dilantik ke jawatan tersebut. Saya fikir ini kesilapan besar yang dibuat oleh PN. Mungkin dari satu sudut kita lihat itu strategi politik dan sebagainya,” katanya ketika temu bual Ekslusif TV Pertiwi, hari ini.

Pada masa sama, beliau turut mempersoalkan mengapa MCA diberi keistimewaan dalam kerajaan serta syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Adakah ada sesuatu di sebalik tabir yang kita tidak tahu? Saya harap berpada-padalah dalam memberi keadilan ini. Kita sudah terlebih adil dalam memberikan hak kepada yang tidak berhak,” katanya.

Selain itu, Prof Ridhuan Tee turut menyarankan kerajaan melantik individu bukan Melayu yang mesra Islam, Perlembagaan dan mengetahui asal usul sejarah negara dalam Kabinet sekiranya mahu meraikan kepelbagaian.

“Ini yang kita nak. Kita mahu tunjukkan kita tidak mengetepikan orang bukan Melayu dan bukan Islam. Tetapi kita tidak lantik orang politik yang kalah dalam pilihan raya.

“Ini perlu difahami kerana kita ramai golongan profesional dan berpengalaman yang bukan ahli politik dan boleh menumpukan masa sepenuhnya untuk melihat kebajikan negara, rakyat dan sebagainya,” katanya.

Pelantikan Lian Ker sebagai Timbalan Menteri Perpaduan Negara dianggap sebagai kesilapan besar dalam keadaan rakyat sudah boleh menerima pentadbiran kerajaan PN.

Beliau mencetuskan kontroversi selepas mengeluarkan kenyataan bahawa MCA di bawah kepimpinan Datuk Seri Liow Tiong Lai telah mencapai kejayaan apabila menghalang UMNO yang mengetuai Barisan Nasional (BN) daripada membawa RUU355 melalui usul kerajaan.

Menurut beliau, kejayaan ini menunjukkan bahawa MCA masih kuat dalam memberi tekanan politik dalam BN.

Selain itu, pada 2017, Lian Ker pernah mendesak kerajaan, terutama Kementerian Dalam Negeri untuk menjelaskan mengapa Dr Zakir Naik diberikan status PR, kerana pada Lian Ker, pakar perbandingan agama itu terkenal menimbulkan ketegangan.

Lian Ker berkata, beliau berasa tidak senang apabila Dr Zakir Naik diizinkan untuk mengadakan ceramah agama di sini walaupun beliau telah menimbulkan banyak kegelisahan di kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang agama dan berbilang kaum.

https://www.youtube.com/TVPertiwi

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close